KUALA LUMPUR – DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) menjual 14,300,000 unit atau 11 peratus saham biasa Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) kepada Kawasaki Heavy Industries, Ltd (KHI) pada harga RM40.3 juta.

Dengan perjanjian ini, KHI yang telah pun memiliki 19 peratus saham Modenas akan meningkatkan ekuiti kepada 30 peratus.

KHI juga akan membeli 52,000,000 saham keutamaan boleh tukar (CPS) yang akan dikeluarkan oleh Modenas, menjadikan penguasaannya meningkat kepada 48 peratus.

CPS tersebut hanya akan ditukar tertakluk kepada Modenas mencapai beberapa tanda aras yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Pengarah Urusan Kumpulan bagi DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar percaya struktur ekuiti baharu tersebut akan memberi manfaat kepada Modenas.

“KHI telah memegang ekuiti didalam Modenas sejak penubuhannya lagi. Ketika itu pun, produk mereka telah membantu Modenas mencapai persada carta jualan di pasaran motosikal tempatan.

“Pegangan ekuiti yang lebih besar ini bererti KHI akan mengambil bahagian didalam operasi Modenas berbanding hanya sebagai pemegang saham.

“Saya yakin pengalaman dan kepakaran teknikal, KHI akan membawa kepada suatu fasa produk yang lebih baik untuk pelanggan Modenas terutamanya dalam segmen street bike serta sports bike”, kata Syed Faisal.

KHI mula mengeluarkan motosikal Kawasaki pada tahun 1960 dan kini antara syarikat motosikal yang disegani di dunia.

Produknya dihasilkan di beberapa kilang di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, Filipina, India, Thailand dan
Indonesia, selain di Jepun.

Jenama Kawasaki juga mempunyai ramai peminat di Malaysia, sejak ia mula dipasarkan di sini dalam tahun 70-an, dan antara model popular mereka adalah Ninja, Versys dan GTR.

Syed Faisal juga berpendapat populariti produk utama Kawasaki di Malaysia akan membantu Modenas.

“Kawasaki dan Modenas bukan tidak mengenali sesama sendiri, maka sinergi antara kedua-dua kumpulan akan memastikan kerjasama dengan berkesan untuk membangunkan produk bagi pasaran domestik.

“Rakyat Malaysia telah lama menggemari produk dari Kawasaki, yang dikenali sebagai jenama global yang berkualiti dan mempunyai rekod yang kukuh di arena sukan bermotor,” tambah Syed Faisal. – MalaysiaGazette