Khairunnisa Nabila menunjukkan kad Minangkabau pada Majlis Perasmian Pesta Seni Budaya dan Warisan Minangkabau di Muzium Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Industri berkaitan pelancongan perlu memastikan sajian tradisional dikenali di mata dunia dengan memasarkannya ke negara-negara luar.

Bekas menteri, Tan Sri Rais Yatim tidak mahu negara kita terpengaruh dengan cara hidup Barat namun keunikan Malaysia yang salah satunya terdiri daripada makanan tradisi gagal dikenali di pelusuk dunia.

“Kenapa KFC misalnya begitu popular di dunia kita tetapi nasi lemak tak laku di New York?

“Bagaimana (daging) dendeng sebegitu enak, rendang begitu baik, hanya popular di dunia Melayu tetapi tak menjangkau ke Timur Tengah atau ke dunia Barat.

MGF28042019_PESTA SENI BUDAYA DAN WARISAN MINANGKABAU13
Pengasas dan Penaung Jaringan Masyarakat Minangkabau Malaysia (JM3), Tan Sri Dr. Rais Yatim berucap pada Majlis Perasmian Pesta Seni Budaya dan Warisan Minangkabau di Muzium Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 APRIL 2019

“Namun dunia Barat terus meng-McDonald kan kita? Terus membajai kita dengan, fish and chip. Saya sangat tertarik dalam cadangan supaya industri pelancongan membawa sekali kulinari ke meja-meja Eropah.

“Usaha ini mesti dibuat kalau tidak sudahlah bahasa barat diguna setiap hari, makanan barat dihidang hari-hari tetapi hak kita tidak laksana ikut perjuangan,” katanya selepas merasmikan Pesta Budaya dan Masakan Warisan Minangkabau di Muzium Negara hari ini.

Pengusaha makanan tradisional juga, menurut Rais, perlu mencari jalan memasarkan produk ke peringkat antarabangsa sehingga ia diterima dan menjadi sebutan warga asing.

“Menjual char kue teow Penang,  harus kita jual waima sampai ke Hong Kong. Nasi lemak harus kita popularkan ke Amsterdam. Rendang kita harus dijual di New York.

“Jadi para peniaga kita yang hebat-hebat perlu berfikir dalam soal ini,” tambahnya. -MalaysiaGazette