SHAH ALAM – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat laporan polis berhubung penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu oleh sekumpulan aktivis pro Pakatan Harapan (PH), termasuk Peguam Negara, Tommy Thomas.
Laporan dibuat Ketua Penerangan Perkasa, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif di Balai Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 5.30 petang ini.
Menurut beliau, Perkasa meminta polis menyiasat Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr. Syed Husin Ali; anggota G25, Noor Farida Ariffin; pakar perlembagaan, Prof Dr. Shad Saleem Faruqi; peguam, Lim Wei Jiet, Tommy dan penganjur Forum Awam & Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Asheeq Ali Alivi.
“Kita mahu semua mereka disiasat bawah Akta Hasutan kerana telah menimbulkan kebencian terhadap Raja-Raja Melayu termasuk mengeluarkan kenyataan Raja Melayu sebagai perompak.
“Kenyataan biadab ini bukan sekadar mencemar kedaulatan Raja-Raja Melayu, ia juga satu penghinaan kepada seluruh sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan dalam negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Menurut Nasrul Ali Hasan, beliau terkejut dan sedih tindakan Asheeq Ali memuatnaik klip video yang memaparkan rakaman forum itu di laman sosial Facebook sehingga menimbulkan kebencian orang ramai.
Semalam media melaporkan, suasana di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Universiti Malaya Kuala Lumpur agak tegang pada sesi soal jawab forum berkenaan.
Forum tersebut mencetuskan kontroversi apabila ucapan ahli politik veteran, Syed Husin yang mendakwa golongan Raja-Raja Melayu telah merompak wang rakyat.
Malah beliau turut mengeluarkan kenyataan mengapa rakyat membahasakan diri sebagai patik ketika bersama raja kerana patik itu bermaksud anjing, selain perkataan menjunjung duli bermaksud tapak kaki yang berdebu. – MalaysiaGazette
















