Muhammad Khalil Abdul Hadi tindakan Israel
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Apa lagi DAP mahu? Soal Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Katanya, apabila Nga Hock Cheh mencadangkan agar digugurkan perkataan agama dari kad pengenalan, Senator DAP itu langsung tidak prihatin dengan sensitiviti rakyat negara ini.

“Dia masih membangkitkan isu yang begitu sensitif,” tegasnya.

Beliau yang menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab, tidak prihatin serta tidak peka dengan apa yang telah termaktub dalam perlembagaan berkata, DAP sengaja membangkitkan kemarahan orang ramai.

Katanya, kenyataan seperti itu sememangnya menimbulkan kemarahan umum, malah beliau dilihat seperti cuba menguji tahap kesabaran masyarakat terutama umat Islam.

“Tidakkah beliau sebagai seorang peguam dan ahli politik tahu isu begini cukup sensitif, boleh mendatangkan kesan negatif serta memudaratkan masyarakat jika tidak ditangani dengan cermat dan bertanggungjawab.

“Untuk apa beliau membangkitkan isu begini? Ternyata dengan membangkitkan isu ini, beliau sengaja menimbulkan kemarahan orang ramai dan berniat jahat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Muhammad Khalil, keadaan lebih buruk apabila pada masa sama pemimpin DAP itu turut mencadangkan kerajaan Malaysia membuka kedutaan di Israel.

“Apakah beliau sedar Israel adalah negara penjajah yang langsung tidak mematuhi undang-undang antarabangsa? Apakah beliau tidak sedar Israel menzalimi, menindas, menghalau rakyat Palestin dari rumah dan tanah air mereka sendiri.

“Apakah beliau tidak sedar Israel seribu kali lebih teruk dari apartheid yang telah hapus di Afrika Selatan? Apakah beliau tidak sedar ketika Israel mengajak satu dunia memperingati “Holocaust“ kerana kezaliman Hitler dan Nazi ke atas orang Yahudi.

“Israel sebenarnya sejuta kali lebih zalim dari Hitler dan Nazi, malah perbuatan mereka ke atas rakyat Palestin lebih zalim dan keji dari peristiwa “Holocaust“,” ujarnya.

Muhammad Khalil turut mempersoalkan Hock Cheh, adakah beliau menyokong Israel apabila mencadangkan kerajaan Malaysia membuka kedutaan di sana.

“Apakah beliau menyokong pengganas Israel yang menjajah, membunuh, melanggar undang-undang, malah menghalau rakyat Palestin keluar dari rumah dan negaranya sendiri?” soal beliau.

Katanya, sejak DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan dan parti komponen dalam PH yang memenangi PRU14 yang lalu, boleh dilihat banyak kenyataan dikeluarkan pimpinan parti yang mencetuskan kontroversi.

“Apa lagi yang DAP mahu lagi sebenarnya, tidak cukup lagikah permainan politik yang kotor dan keji sebegini dimainkan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast