KUALA LUMPUR – Peguam yang lantang memperjuangkan Statut Rom dari diratifikasikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjelaskan kepada penganjur Forum Awam & Statut Rom kenapa beliau tidak dapat hadir sebagai penonton pada program itu Sabtu lalu.
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, walaupun alasan itu terlalu peribadi untuk dijelaskan, tetapi beliau mengambil keputusan untuk memaklumkan perkara yang berlaku kepadanya pada hari itu.
“Hal ini agak peribadi, tetapi disebabkan ada yang telah menyerang saya kenapa saya tidak hadir ke forum di Universiti Malaya (UM) itu kalau saya ‘anak jantan’ sangat? Ini penjelasan saya..
“Asalnya memang saya nak hadir ke forum itu sebagai penonton dan hendak bertanya kepada Tommy Thomas (Peguam Negara), namun, tiba-tiba adik saya memaklumkan menerusi aplikasi Whasapp bapa kami dimasukkan ke wad Hospital Batu Gajah, Perak kerana jangkitan kuman dalam paru-paru.
“Maka saya memilih untuk menjadi ‘anak jantan’ kepada bapa saya dan bergegas balik ke Batu Gajah untuk menguruskan sedikit hal bapa saya. Inilah sebab saya tak hadir ke forum berkenaan,” katanya dipetik hantaran beliau dalam akaun Facebooknya semalam.
Sehari selepas Forum Awam & Statut Rom yang berlangsung di Auditorium Tun Mohamed Suffian, UM, Mohd Khairul Azam ‘diserang’ oleh penyokong pihak penganjur yang didakwa tidak bersifat ‘anak jantan’ kerana tidak hadir ke program berkenaan.
Cacian dan ejekan itu dihamburkan kepada Mohd Khairul Azam yang lebih dikenali sebagai Buzze Azam berikutan kelantangannya mengkritik Peguam Negara, Tommy Thomas yang menasihatkan kerajaan PH supaya menandatangani Statut Rom.
Mohd Khairul Azam berkata, jika beliau hadir, beberapa soalan akan ditanya kepada Tommy, antaranya..
“10 hari sebelum Malaysia menandatangani ratifikasi Statut Rom, dalam satu majlis di Johor Bahru, Sultan Johor ada bertanya kamu sama ada Malaysia akan meratifikasikan Statut Rom atau tidak.
“Kamu jawab kepada Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Malaysia tidak perlu tandatangan kerana ini hanyalah tindakan politik.
“Kemudian tiga hari selepas itu, kamulah orangnya yang telah menasihatkan Perdana Menteri untuk meratifikasikan Statut Rom,” katanya.
Katanya, beliau juga akan mengemukakan soalan kepada Peguam Negara yang ketika itu turut hadir sebagai panelis Forum Awam & Statut Rom bahawa, ketika ditanya sendiri oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengapa sebagai Peguam Negara telah menipu Sultan Johor?
“Kamu gagal memberi penjelasan di hadapan Sembilan Raja-Raja Melayu terhadap soalan tersebut.
“Soalan saya, kenapa kamu menipu Sultan Johor?” soal beliau.
Forum Awam & Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) anjuran aktivis pelajar, Asheeq Ali Alivi turut dihadiri Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr. Syed Husin Ali, anggota G25 Noor Farida Ariffin, pakar perlembagaan Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi dan Lim Wei Jiet.
Forum itu mencetuskan kontroversi apabila hamper semua panelis mengkritik dan menghina Raja-Raja Melayu, terutama Dr. Syed Husin yang mendakwa raja telah merompak wang rakyat. – MalaysiaGazette