P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr. P. Ramasamy dalam nada sindiran meluah perasaan bahawa pihak polis tidak memerlukan beratus-ratus laporan terhadap seseorang yang menyebarkan kebencian serta ketegangan kaum di negara ini.

Beliau merujuk kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun tentang penceramah  Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang juga dikaitkan dengan pendakwah kontroversi, Zakir Naik.

Menurut Mohamad Fuzi, pihaknya menerima lebih 800 laporan dari seluruh negara sehingga pihaknya bertindak menangkap lelaki berkenaan di Arau, Perlis semalam.

Kata Ramasamy yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, sebenarnya dalam kes tertentu satu laporan polis sudah memadai terhadap satu atau lebih induvidu atau berkumpulan yang melakukan provokasi perkauman.

“Anda tidak memerlukan 800 laporan untuk polis bertindak terhadap individu atau individu serta kumpulan yang bertanggungjawab untuk menyebarkan kebencian dan ketegangan antara agama di negara ini.

“Ada setengah keadaan, satu laporan sahaja sudah cukup memadai. Namun saya lihat dalam kes ini, lelaki ini yang telah memeluk Islam setelah mendapat ilham berbuat demikian, berkali-kali membuat tuduhan serta kenyataan menghina agama lain seperti agama Hindu.

“Sebelum ini, dia sudah mempunyai rekod mengeluarkan kenyataan yang sungguh menghina terhadap agama Hindu, satu agama yang telah dianuti serta dipercayai oleh kedua-dua ibu bapa serta nenek moyangnya.

“Bagaimanapun, pada masa itu lagi dia telah berjaya meloloskan diri.

“Laporan polis juga dibuat terhadapnya berikutan aktiviti menyalahi undang-undang sebelum ini. Sebenarnya, situasi kini sudah berubah, rakyat kita mungkin ada perbezaaan pendapat antara satu sama lain, idealogi berlainan.

“Namun hakikatnya, rakyat Malaysia juga tidak bersedia membiarkan mana-mana pihak  mengeksploitasi agama serta kepercayaan mereka untuk agenda peribadi,” katanya panjang lebar di laman Facebook beliau hari ini.

Tulisan beliau juga mendapat pelbagai reaksi termasuk ada yang sependapat di mana tidak perlu sehingga beratus-ratus laporan terpaksa dibuat sebelum tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

Jelas Ramasamy lagi, perbezaan pendapat dan pandangan berkaitan agama sehingga mencetuskan insiden keganasan di beberapa negara sejak kebelakangan ini sebenarnya satu pengajaran amat berharga untuk rakyat di negara ini.

“Apa yang berlaku di New Zealand dan terbaru di Sri Lanka adalah satu peringatan buat kita bahawa kebencian agama sehingga mencetuskan keganasan meragut nyawa ini tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada kita semua,” tegasnya.

Kelmarin Muhammad Zamri didakwa telah melakukan provokasi agama dalam rakaman video ucapan lelaki itu yang dianggap berbaur penghinaan kepada masyarakat India beragama Hindu.

Kes tersebut dijangka disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebut perkataan-perkataan yang dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama seseorang atau memudaratkan perpaduan.

Peruntukan undang-undang sama juga sebelum ini dipakai terhadap beberapa individu yang menghina Nabi Muhammad beberapa bulan lalu.

Muhammad Zamri merupakan Ketua sebuah pertubuhan masyarakat di Perlis telah ditahan sekitar jam 2 pagi di Arau selepas menghadiri sebuah program diskusi agama di sebuah pusat pengajian tinggi di negeri itu. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/28/pembantu-zakir-naik-ditahan-didakwa-hina-agama-hindu/