Suhaimi Kassim
Suhaimi Kassim

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan menasihatkan Mufti Perlis menghentikan tuduhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak membela Islam dan membiarkan ianya dibuli.

Naib Pengerusinya, Suhaimi Kassim berkata, Datuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan panggilan Maza membuat tuduhan liar itu kerana sahabatnya telah ditangkap polis akibat menghina agama lain.

“Persoalannya, adakah kita mahu menggalakkan keganasan? Adakah kita mahu membela orang yang melakukan kesalahan?

“Kesalahan pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth itu belum dibuktikan bersalah lagi, dia hanya ditahan beberapa hari untuk tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Maza semalam yang mendakwa kedudukan Islam kini berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran PH dan reality politik pada hari ini membiarkan umat Islam dibuli.

Kata beliau, pelbagai kenyataan yang dibuat oleh individu tertentu yang berada dalam kerajaan hari ini yang menghina umat Islam dan menimbulkan ketegangan kaum, mereka hanya dipanggil untuk beri keterangan.

Betapa ramai yang menghina Nabi Muhammad dan mempersenda ajaran Islam, juga hanya dipanggil memberikan keterangan.

Pada masa sama, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan Muhammad Zamri yang dikatakan ada kaitan dengan penceramah terkenal Dr. Zakir Naik ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes menghina agama Hindu dalam media sosial.

Pendakwah bebas itu ditangkap susulan lebih 700 laporan polis diterima di seluruh negara terhadap satu klip video yang dianggap mempunyai unsur penghinaan terhadap agama Hindu oleh suspek.

Sementara itu, Suhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng menasihatkan pembanca dan orang ramai agar berhati-hati dengan tulisan yang cuba menghasut rakyat supaya membina sifat kebencian sesame sendiri.

“Isu perkauman dan fahaman agama yang sempit memang akan digunakan oleh mereka yang bermasalah untuk menangguk di air keruh. Sepatutnya mereka memberi penjelasan mendamaikan, bukan memarakkan lagi permusuhan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, menterjemahkan Islam bersifat Rahmatan Lil Alamin ini tidak mungkin boleh berlaku dalam masa sekejap, dan ia hanya berjaya diterjemahkan dengan sikap sabar dalam mengamalkan ajaran Islam yang sebenar berpandukan al-Quran dan As-Sunnah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast