Nasruddin Hassan Tantawi
Nasruddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas mempersoalkan tindakan polis menangkap pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth, sedangkan pada masa sama tidak bertindak ke atas beberapa pemipin Pakatan Harapan (PH) yang celupar menghina Islam.

Walaupun laporan polis dibuat ke atas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dan Exco Kerajaan Selangor, V. Ganabatirau, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil.

Ketua Penerangan Pas Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, laporan polis juga telah dibuat ke atas beberapa pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng, Nga Kor Ming dan Chew Chong Sing atas kenyataan mereka yang mengundang kemarahan umat Islam, semuanya sepi.

“Tetapi, apabila ada laporan dibuat ke atas Muhammad Zamri, tindakan pantas terus diambil dengan menahannya untuk direman.

“Menurut laporan media, terdapat beberapa belas laporan polis telah dibuat ke atasnya oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan di Pulau Pinang lima hari lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Ahad lalu, Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia ditahan polis berikutan beberapa laporan dibuat terhadapnya kerana didakwa menghina agama Hindu.

Muhammad Zamri yang juga pembantu pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) di hadapan sebuah restoran di Arau, Perlis kira-kira jam 2.30 pagi.

Menurut Nasrudin, laporan polis ke atas Ramasamy kerana dikaitkan dengan organisasi pengganas LLTE pada Julai 2018, manakala P. Waytha Moorthy pula memfitnah mengenai kezaliman yang dilakukan kerajaan terhadap masyarakat Hindu pada November lalu.

Kata beliau, V Ganabatirau pula mengaitkan rusuhan robohan kuil Maha Mariammam dengan umat Islam.

“Namun, apakah tindakan susulan yang telah diambil ke atas mereka? Adakah ini yang dimaksudkan dengan kedaulatan undang-undang di bawah Malaysia Baharu?” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast