KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik dan bersetuju dengan keputusan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan status agama dalam kad pengenalan.
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, status agama dalam kad pengenalan sudah terdapat ketetapan dan ia bertujuan untuk menjaga keutuhan perpaduan kaum di negara ini.
“Perkara yang dibangkitkan oleh Senator DAP di Dewan Negara pada Rabu lalu itu tidak wajar dibangkitkan.
“Mengapa DAP sengaja mahu mencetuskan konflik perkauman dengan menyentuh asas kenegaraan sekarang?” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Dua hari lepas Munyiddin dilaporkan berkata, KDN akan mengkaji dan memperhalusi cadangan Ahli Jawatankuasa DAP negeri, Nga Hock Cheh supaya kerajaan menggugurkan status agama dalam kad pengenalan.
Kata beliau, ini bukan kali pertama perkara itu disuarakan, namun tidak ada perubahan dilakukan selepas perbincangan dibuat membabitkan perkara itu.
Menurut Nasrudin, status agama dalam kad pengenalan bukan menunjukkan rasisme, dan tidak salah ia menjadi ketetapan kerana ia menunjukkan identiti kaum atau agama seorang rakyat Malaysia
“Tidakkah kita sedar keunikan Malaysia ialah kepelbagaian ras dan agama yang hidup saling hormat menghormati antara satu sama lain.
“Tambahan pula, status agama dalam kad pengenalan boleh memudahkan pelbagai urusan terutama yang melibatkan urusan prosedur perundangan.
“Kepelbagaian agama dan kaum tidak menjadi penghalang kepada identiti nasional,” katanya.
Beliau berkata, lebih membimbangkan sekiranya identiti nasional akan menjadikan rakyat lupa asal usul sesuatu adat warisan, malah lebih buruk lagi menghakis pegangan agama.
Beliau bertanya, adakah tindakan DAP mahu membawa kepada kesamarataan semua rakyat dan menghilangkan hak istimewa sesuatu kaum khususnya Melayu seperti dijamin dalam Perlembagaan? – MalaysiaGazette