KUALA LUMPUR – Wira Perkasa Malaysia hari ini menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong menggesa kerajaan penubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Memorandum dua muka surat itu diserahkan Ketua Wira Perkasa, Burhanuddin Ruslan kepada wakil Pegawai Perhubungan Awam Istana Negara, Che Hilmi Che Musa kira-kira jam 11.30 pagi ini.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Burhanuddin berkata, kematian Allahyarham Muhammad Adib perlu disiasat melalui RCI, bukan inkues di mahkamah coroner Shah Alam.
“Dalam memorandum itu, Wira Perkasa Malaysia memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi Majlis Raja-Raja menubuhkan RCI dengan segera bagi menyiasat dan mendapatkan keadilan kematian Muhammad Adib.
“Allahyarham terbunuh ketika bertugas memadam kebakaran dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Matiamman di Subang Jaya akhir tahun lalu,” katanya.
Turut hadir bersama penyerahan memorandum itu, Ketua Wirawati Perkasa, Marini Nasution; Naib Ketua Wira, Syed Shahriman Syed Badrishah; Setiausaha Wira, Zahir Zulkamar; dan barisan Exco Wira Perkasa Malaysia.
Menurut Burhanuddin, Wira Perkasa menzahirkan rasa tidak senang hati ke atas perjalanan prosiding inkues itu, yang dikhuatiri kemungkinan ada unsur campur tangan luar yang boleh membawa kes kematian Allahyarham Muhammad Adib tidak mendapat keadilan sewajarnya.
Katanya, kebenaran dan keadilan perlu dibongkar melalui penyiasatan oleh RCI secara telus bagi membolehkan penjenayah yang melakukan kekejaman tersebut dihukum mengikut undang undang ‘rule of law’.
“Lebih mencurigakan lagi apabila dua pakar forensik yang juga saksi pakar bagi prosiding inkues itu membuat laporan polis berhubung ugutan serta cubaan mempengaruhi penilaian mereka ketika pendengaran inkues masih berlangsung.
“Jadi, kita mendesak dan menggesa agar Yang di-Pertuan Agong dapat memberi pandangan kedua dan melihat sekali lagi ke atas kes ini seterusnya menitahkan untuk menubuhkan RCI dengan segera bagi meneruskan siasatan.
“Gesaan supaya RCI ini ditubuhkan telah pun disuarakan Presiden Perkasa sebelum ini kerana menjangkakan ketidakadilan bakal berlaku jika kes kematian anggota bomba ini tidak dapat ditegakkan kebenarannya dengan telus,” katanya.
Tegas beliau, Perkasa berpendirian RCI ini perlu ditubuhkan dengan segera kerana kredibiliti dan integriti inkues dilihat sudah pun tercalar dan lebih teruk lagi mencemar institusi kehakiman negara yang mulia.
Jelas beliau, kebenaran yang telah dimanipulasi semasa prosiding inkues sekaligus pasti akan memberi impak negatif dan tidak boleh diperakui dalam keputusan yang akan diambil.
Beliau turut menjelaskan, tindakan Peguam Negara memfailkan afidavit berkenaan kematian Muhammad Adib juga merupakan tindakan tidak sepatutnya berlaku kerana seolah meletakkan satu keputusan tertentu mendahului keputusan inkues yang sedang berlangsung.
“Secara tidak langsung tindakan ini juga dilihat seperti menghina dan mencabar kemuliaan mahkamah.
“Oleh itu, Perkasa berharap Tuanku Yang di-Pertuan Agong dapat memberi Titah Diraja bagi segera menubuhkan RCI untuk membongkar petualang di sebalik kes kematian Allahyarham Muhammad Adib.
“Secara jelas saksi inkues ini telah dipengaruhi bagi memberi penilaian yang tidak tepat dan sesuai mengikut penelitian mereka dan kita akan terus menerus mendesak bagi memastikan keluarga Allahyarham Muhammad Adib mendapat pembelaan sewajarnya dan penjenayah yang melakukan kekejaman ini diambil tindakan dan dijatuhkan hukuman setimpal,” katanya. – MalaysiaGazette