KUALA LUMPUR – Beban guru yang dikatakan oleh Kementerian Pendidikan bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan dikurangkan, belum dilaksanakan sepenuhnya.
Bahkan, ada beberapa kes masih tidak mendapat perhatian kerajaan dan kementerian itu seperti tugas tambahan guru sebagai warden.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, jawatan tambahan itu patut diasingkan dari tugas hakiki guru kerana ia membebankan mereka.
“Sebelum ini saya ada mencadangkan kerajaan mengasingkan tugas hakiki guru dengan tugas mereka sebagai warden. Mereka yang terbeban dengan tugas sedia ada dibebani lagi dengan tugas warden.
“Saya kecewa kerana tidak mendapat apa-apa reaksi positif daripada kerajaan atau Kementerian Pendidikan sehingga hari ini,” katanya kepada media, semalam.
Katanya, beliau mengalu-alukan keputusan kerajaan mengurangkan beban guru melalui pelaksanaan lima inisiatif yang dirangka Kementerian Pendidikan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah.
Tambahan pula, kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran baru-baru ini selari dengan apa yang disuarakan beliau pada sidang Dewan Rakyat, bahawa guru tidak seharusnya dibebankan dengan kerja pentadbiran yang di luar daripada tugas hakiki mereka.
“Saya menerima aduan mereka bukan sahaja terbeban dengan tugas warden, malah elaun yang diberikan langsung tidak setimpal dengan tugas, iaitu RM280.
“Saya mencadangkan jika tidak dapat menyediakan warden luar, kerajaan seharusnya menaikkan elaun agar setimpal dengan tugas dijalankan.
“Saya juga menyeru Kementerian Pendidikan tidak hanya membisu dengan isu beban guru yang juga warden agar nasib mereka terbela untuk menzahirkan kerajaan prihatin dan serius dalam menangani isu ini,” katanya.
Selain itu, beliau menggesa kerajaan agar segala inisiatif yang diambil dapat diserap sehingga ke peringkat bawah demi memastikan keberkesanan inisiatif tersebut. – MalaysiaGazette