KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan pendirian untuk bersama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kemelutnya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Saya nyatakan perkara sama kepada TMJ, jangan risau, saya bersama anda. Semuanya akan baik-baik saja,” katanya dalam ciapan Twitternya semalam.
Media sebelum ini melaporkan luahan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah apabila anakanda baginda, TMJ diperli dan dimaki tanpa sebab.
Raja Zarith Sofiah bertitah, baginda berdoa semoga Allah mengurniakan taufik dan hidayah-Nya kepada mereka yang melakukan perbuatan itu.
Sementara itu, TMJ menjawab keresahan itu dengan meminta bondanya tidak risau akan dirinya.
“Jangan risau Mama. Semuanya akan baik-baik sahaja. Tidak kira bagaimana gelapnya ribut melanda, akan ada sinar mentari. Ini janji saya kepadamu. Allah Pelihara Sultan,” kata Tunku Ismail.
Kata Zaid lagi, beliau dapat menyelami kesakitan yang dirasakan oleh setiap ibu bapa apabila anak mereka dilemparkan dengan kata-kata hina dan caci maki.
Beliau yang juga peguam memberitahu, tidak baik bagi negara jika ada dalam kalangan pemimpin tidak menyukai sistem sedia ada. – MalaysiaGazette