KUALA LUMPUR – Kritikan penyanyi Francissca Peter terhadap cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membawa artis K-Pop sempena Tahun Melawat Malaysia, mempunyai merit.
Kerajaan Malaysia Baharu Pakatan Harapan (PH) wajar lebih peka dan serius dalam isu pemartabatan dan pengiktirafan artis tempatan yang mempunyai bakat besar dan segar.
Menurut Setiausaha Kehormat Majlis Senator Malaysia (MSM), Senator Raj Munni Sabu, adalah kurang tepat jika kerajaan sewenang-wenangnya merumuskan bahawa artis tempatan tidak mampu memberikan persembahan serta daya tarikan yang signifikan dan terbaik berbanding artis luar negara.
“Apa yang sebenarnya lebih penting adalah kerajaan perlu mempunyai idea lebih progresif, segar dan “wow” mengenai bagaimana “menghidupkan semula” bakat dan motivasi luar biasa di kalangan pengamal seni musik dan seni suara tanah air,” katanya.
Semalam, Francissca meluahkan rasa kesal terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bercadang membawa masuk kumpulan BTS ke negara ini.
Menurut penyanyi tersohor itu, keputusan berkenaan merupakan suatu penghinaan bagi artis tempatan yang selama ini terpaksa berusaha keras menghasilkan karya terbaik, namun tidak dihargai.
Seterusnya kata Raj Munni, pandangan yang mengatakan bahawa membawa artis luar negara sebagai strategi menarik kemasukan pelancong asing ke Malaysia, bukan sahaja agak lucu, malah satu tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai merendah-rendahkan intelektualiti rakyat.
Hakikatnya, kata beliau, majoriti orang yang pergi melancong ke mana-mana negara kerana tertarik dengan keunikan dan sejarah tersendiri negara tersebut, bukan sebaliknya mencari negara lain dengan pergi melancong ke negara yang lain pula.
Justeru, sangat wajar sekiranya kerajaan Malaysia Baharu ini mengambil cakna untuk mendengar pandangan dan harapan artis tempatan.
“Memposisikan artis tempatan dalam mana-mana majlis kerajaan yang perlu menggunakan khidmat penghibur, secara tidak langsung adalah sebahagian daripada usaha serius kerajaan memberdayakan rakyat, sekali gus membina semula negara tercinta ini,” katanya. – MalaysiaGazette