Dr. Mujahid Yusof
Dr. Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menegaskan kuota haji yang diberikan kepada Malaysia kekal 30,200 jemaah.

Katanya, sehingga kini tidak berlaku pengurangan kuota dan kekal sebagaimana sebelum ini.

“Mengenai kuota tambahan, saya sedang berusaha untuk mendapatkannya dari kerajaan Arab Saudi.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada budi bicara pihak Arab Saudi untuk meluluskannya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa, umat Islam kehilangan kuota tambahan sebanyak 10,000 orang untuk menunaikan haji setiap tahun berikutan hubungan dingin antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan Arab Saudi.

Ketika mendedahkan perkara itu, Dr. Asyraf yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN), Arab Saudi tidak pernah gagal memberikan keistimewaan itu kepada Malaysia.

Malah kata beliau, pada 2013 Arab Saudi bermurah hati memberikan kuota tambahan setengah kali ganda lagi iaitu sebanyak 15,000 orang.

Menurut Dr. Mujahid, kenyataan Dr. Asyraf itu merupakan satu fitnah berniat jahat untuk menakutkan umat Islam dan ia tidak benar sama sekali.

Ini kerana katanya, kuota haji yang diberi kepada Malaysia tidak pernah berkurangan.

Beliau menasihatkan media yang menyiarkan kenyataan Dr. Asyraf itu supaya merujuk terlebih dahulu fakta dan dakwaan yang dilemparkan kepada pihak berkuasa terutama Tabung Haji yang diberi kuasa menguruskan jemaah haji.

“Laporan tidak tepat ini memberi kesan kepada rakyat khususnya umat Islam berbanding mengambil bulat-bulat (kenyataan) pihak luar yang tiada autoriti untuk bercakap mengenai isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette