KUALA LUMPUR – Lima maut dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, dekat Simpang Sungai Ruan, Raub, Pahang awal pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 2 pagi itu, tiga yang maut berada dalam Perodua Kancil, manakala dua lagi maut dalam Perodua Myvi.
Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Wan Zahari Wan Busu, mangsa yang maut ialah penumpang Perodua MyVi, Hasliza Arini Muhamad @ Hamid, 34, dan anak kecilnya, Muhammad Khalish Kautsar Mohd Syaril berumur dua tahun.
Katanya, pemandu Myvi, Mohd Syaril Sulaiman, 44, yang juga suami Hasliza Arini, patah kaki dan tulang belakang, manakala anak pasangan itu, Dhia Afriena, 5, cedera parah dan Khaliesah Khairina Mohd Syaril, 7, juga tercedera.
Turut maut, pemandu Perodua Kancil, Nashrul Fakhri Mansor, 38, dan isteri serta bayi perempuan mereka berusia lingkungan setahun yang identiti mereka belum dapat dikenal pasti.
Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raub (HR) untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette