KUALA LUMPUR – Tindakan menekan secara berterusan empat pensyarah yang terlibat dalam membentangkan rumusan eksekutif Statut Rom kepada Majlis Raja-Raja adalah keterlaluan.
Banyak pihak mengambil kesempatan mencemuh pensyarah berkenaan sehingga mendorong Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menghina kredibiliti mereka dengan menggelarnya ‘profesor kangkung’.
Ahli Parlimen Setiau, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, selain itu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik turut tumpang sekaki dengan memberi amaran kepada mereka untuk bertanggungjawab ke atas pandangan yang telah diberikan.
“Sekiranya kerajaan mengangkat lunas kebebasan akademik, mereka sewajarnya layak memberi pandangan atas ilmu yang dimilikinya.
“Jangan pula terus memberi tekanan sehingga mereka dilihat bersalah kerana membentangkan rumusan tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Katanya, Dr. Maszlee turut mendakwa akan membincangkan kedudukan empat pensyarah itu.
“Ramai tidak berpuas hati dengan empat ahli akademik itu dengan mengecam dan mencari jalan supaya mereka diambil tindakan tatatertib termasuk dipecat.
“Jangan menggunakan undang-undang rimba untuk menundukkan pihak yang tidak sehaluan dengan pendirian kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette