KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang (DPPP) mengharapkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjadikan sidang DUN yang berlangsung ketika ini sebagai medan terbaik membahaskan kontroversi berkaitan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
Bagaimanapun, ADUN bagi pihak kerajaan gagal mengemukakan penjelasan meyakinkan, malah dilihat cuba menyembunyikan banyak perkara sepanjang sidang DUN minggu lalu.
Naib Ketua DPPP, Mohd Farhan Yusri berkata, apa yang berlaku hanya akan menguatkan lagi persepsi wujudnya agenda dan komplot terselindung di sebalik projek super mega itu.
Begitu juga, katanya, perbahasan dalam kalangan ADUN kerajaan turut menampakkan banyaknya kekaburan dan kekeliruan berkaitan PTMP.
“Jika mereka selaku pihak bersama kerajaan pun berkeadaan demikian, tidak pelik rakyat umumnya lebih merasa was-was dan sangsi.
“Kerajaan dicurigai tidak ‘telus’, bahkan pula telah menunjukkan tindakan serta menghala perancangan yang ‘tembus’,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Beliau menyatakan, asasnya, penolakan berbangkit dalam kalangan rakyat dan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah kerana PTMP tidak cekap dan akauntabiliti jelas menghadirkan banyak impak negatif dan berkepentingan.
Tegas Mohd Farhan, di atas nama pembangunan dan sebagai kaedah menyelesaikan masalah sedia ada, ia rupanya menjadi satu bentuk penjajahan baharu dan mengimport banyak beban untuk masa depan.
“Rakyat yang sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan kini telah tersisih dan bakal terusir keluar dari negeri ini atas pembangunan mewah yang sedang dipacu.
“Kerajaan ternyata begitu ghairah dan haloba untuk menjadikan Pulau Pinang seperti Hong Kong dan Singapura.
“Walhal, tidak mempunyai kemampuan sendiri, tetapi dipercayai begitu mengharap dan menagih bantuan dari Kerajaan Persekutuan dan pemaju,” katanya.
Beliau mendakwa, kerajaan negeri disyaki cuba mendapat kelulusan berkaitan projek itu secara politik dan pintu belakang, selain mungkin bersikap curang yang boleh menggadai kedaulatan negeri.
Apatah lagi, katanya, portfolio berkaitan pengangkutan, alam sekitar dan kewangan dipegang menteri dari DAP, iaitu sama parti kerajaan Pulau Pinang.
“Ditambah pula bayangan isu rasuah dan penyelewengan yang belum terjawab,” ujarnya.
Katanya, PTMP juga dipersoal kemampanannya oleh ADUN kerajaan ketika sidang minggu lalu berkaitan kelicinan perjalanan aliran trafik serta jangkaan peningkatan pencemaran udara dan bunyi.
Termasuk juga suara bernada skeptikal terhadap sikap berhemah dan kemampuan kewangan yang tidak jelas pembiayaannya, selain jangkaan masa depan melibatkan kos penyelenggaraan sangat besar.
Isu penyelenggaraan juga melihat wujudnya ketidakmampuan mengadakan pengurusan strata dan sisa dengan baik.
Ini mengundang risiko berkaitan kecemasan dan keselamatan, selain kebersihan dan keselesaan.
Perlu juga ‘diinsafi’ supaya tidak memenuhi nafsu pembangunan yang tidak seimbang.
Antara kesan dapat dilihat dari pembinaan kediaman yang meningkat tiga kali ganda, tetapi terdapat 3,445 unit tidak terjual setakat ini.
Ini belum termasuk isu berkaitan kelestarian alam semulajadi dan keharmonian penduduk pelbagai kaum, juga melibatkan budaya dan warisan.
Jika demikian, kempen menjadikan Pulau Pinang negeri bersih, hijau, sihat dan selamat untuk didiami hanyalah retorik dan slogan kosong.
Ianya bukan sahaja terlalu eksklusif kepada Eksekutif Kerajaan Pulau Pinang, tetapi berbaur dan tersirat oleh kepentingan politik DAP. – MalaysiaGazette