Donald Trump. foto Agensi

WASHINGTON – Donald Trump akan menaikkan tarif AS$200 bilion ke atas barangan China ekoran rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China berjalan ‘sangat perlahan’.

Presiden Amerika Syarikat itu menerusi Twitter berkata, tarif 10 peratus bagi barangan tertentu akan naik kepada 25 peratus pada hari Jumaat dan barangan bernilai AS$325 yang tidak dikenakan cukai akan dikenakan duti sebanyak 25 peratus tidak lama lagi.

“Rundingan dengan China masih diteruskan tetapi sangat perlahan, seolah-olah mereka mahu berunding semula. Tidak,” kata Trump.

Kedua-dua negara itu dikatakan hampir menandatangani perjanjian perdagangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Rundingan perdagangan antara kedua-dua negara diteruskan pada awal tahun ini selepas Trump bersetuju menangguhkan kenaikan tarif susulan ada kemajuan dalam perbincangan.

Langkah itu meningkatkan tekanan ke atas China kerana Naib Perdana Menteri, Liu He sudah bersiap sedia untuk terbang ke Washington minggu ini untuk menyambung semula rundingan.

Ia susulan perbincangan pada bulan April di Beijing dikatakan produktif oleh Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Steven Mnuchin.

Penasihat Ekonomi White House, Larry Kudlow berkata, kepada Fox News bahawa ciapan Trump hanya satu amaran.

“Saya berpendapat presiden hanya memberi amaran, anda tahu, kami telah menangguhkan (kenaikan tarif), kami menggantung tarif 25 peratus kepada 10 peratus.

“Ia bukan untuk selamanya jika rundingan tidak berjaya,” ujarnya. – MalaysiaGazette