S. Gobi Krishnan
S. Gobi Krishnan

KUALA LUMPUR – Pembinaan lapangan terbang antarabangsa yang baharu di Kulim, Kedah tidak akan menjejaskan fungsi dan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Pengerusi Dewan Perniagaan Minoriti (MBA), S. Gobi Krishnan berkata, kerajaan Persekutuan memilih lokasi itu di Kedah adalah bertepatan memandangkan keadaan trafik di Pulau Pinang yang semakin sesak dan padat dengan aliran pembangunan.

“Pada pandangan kami, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak akan menjadi pesaing kepada PIA, sebaliknya kewujudan itu akan melengkapi keseluruhan operasi PIA.

“Saya lihat kalau PIA dinaiktaraf sekali pun, ia hanya memberi manfaat kepada negeri itu sahaja berbanding KXP yang akan memberi kemajuan kepada banyak kawasan yang kurang maju di Kedah.

“Selain itu, ia juga mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada komuniti tempatan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini, mengulangi bantahannya terhadap projek KXP dengan mendakwa ia bertujuan menjejaskan kejayaan ekonomi negeri itu, yang mana Barisan Nasional (BN) dikatakan menganggapnya sebagai “menyakitkan mata”.

“Terdapat beberapa percubaan sejak enam dekad yang lalu oleh mereka yang berkuasa untuk mengurangkan keberkesanan tarikan Pulau Pinang di wilayah utara,” kata Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy.

Kata P Ramasamy, PIA di Bayan Lepas jauh lebih baik daripada lapangan terbang di Kedah dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Perak.

Menurut S. Gobi, Pulau Pinang sebagai negeri telah maju seharusnya berpandangan positif dan menjadi pemain bijak untuk menaik dan meningkatkan ekonomi Kedah serta negara khususnya.

Ujar beliau, amat sesuai jika KXP dibina kerana lapangan terbang Kedah yang terletak di Alor Setar hanya beroperasi bawah kapasiti penerbangan domestik sahaja.

“Jika ada KXP, ia bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh negeri itu dan Pulau Pinang, malah turut dirasai manfaatnya oleh kerajaan dan rakyat Perak.

“Justeru, kita cadangkan kerajaan turut menyambungkan rangkaian laluan keretapi dan koridor lebuh raya dihubungkan secara langsung antara KXP dan PIA ke arah meningkatkan lagi hubungan dua lapangan terbang itu,” katanya.

Beliau memuji visi hebat kerajaan Persekutuan bawah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam usahanya menjadikan Malaysia sebagai negara yang disegani dunia.

Serentak itu juga, beliau meminta kerajaan Pulau Pinang tidak terus melontarkan kritikan projek itu melalui saluran media, sebaliknya perlu berunding dan berbincang dengan kerajaan Persekutuan untuk mencari penyelesaian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast