David Beckham dilarang membawa kenderaan selama enam bulan selepas disabitkan kesalahan memandu sambil menggunakan telefon bimbit di Lon pada 21 November lalu.

LONDON – Bekas legenda bola sepak England, David Beckham digantung lesen memandu kenderaan selama enam bulan atas kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu juga didenda 750 pound apabila dicekup melakukan kesalahan pada November tahun lepas di kota London.

Beckham, 43, didakwa melakukan perbuatan itu ketika memandu kenderaan miliknya Bentley bernilai 100,000 pound di London West End.

Orang awam yang mengesan kesalahan bekas pemain bola sepak itu membuat laporan polis secara rasmi untuk tindakan lanjut.

David sebelum ini sudah dikenakan pemotongan merit enam mata atas dua kesalahan memandu dengan laju dan kesalahan terbaharu berkenaan secara keseluruhannya merekodkan 12 mata sekaligus melucutkan kelayakannya membawa kenderaan di atas jalan raya mengikut peraturan pihak berkuasa.

Beckham yang mengenakan pakaian bersut kelabu dan bertali leher hitam hadir keMahkamah Majistret Bromley.

Majistret Catherine Moore mengarahkan Beckham membayar denda 100 pound sebagai kos pendakwaan di mahkamah dan 75 pound surcaj mangsa.

Beckham mendengar dengan tenang hukuman itu semasa dibacakan oleh mahkamah dan mengesahkan identitinya kepada majistret sebagai pemegang lesen memandu sah David Robert Joseph Beckham dan beralamat berdaftar di Holland Park, London.

Majistret Moore mengarahkan Beckham berdiri semasa mengumumkan keputusan sebelum berkata:” saya mengambil pertimbangan kesalahan berlaku semasa aliran trafik perlahan tetapi itu bukan alasan mewajarkan perbuatan kamu.

“Ia masih mencetuskan risiko kepada pengguna jalan yang lain. Maka saya melucutkan lesen memandu kamu selama enam bulan berkuatkuasa serta merta.

“Sepanjang tempoh penggantungan berkenaan kamu (Beckham) dilarang sama sekali membawa motosikal atau kereta,” sambil memberi amaran tindakan memandu selepas pengantungan lesen merupakan satu lagi kesalahan jenayah amat serius.

Moore turut meneliti rekod pemanduan Beckham di atas jalan raya sebelum menjatuhkan penggantungan lesen memandu.

Bekcham disabitkan kesalahan menerusi pos kerana selepas dikesan pengguna jalan raya dia menggunakan telefon bimbit semasa memandu sekitar 1 tengahari di Jalan Great Portland pada 21 November lalu.

Orang awam yang melintas jalan semasa kejadian ternampak telefon bimbit itu di atas paha Beckham semasa membelok sebelum merakamkan gambar menggunakan telefon bimbit untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Sehingga kini kes didengar secara incamera atau tertutup dalam kamar mahkamah yang tidak memperuntukan hukuman penjara.

Ia termaktub dalam prosedur keadilan perseorangan’ mengikut undang undang mahkamah England yang membenarkan majistret bertindak menguruskan segera kesalahan bertahap rendah yang tidak mewajibkan hukuman penjara.

Bagaimanapun kes didengar secara terbuka selepas Majistret mahukan tunjuk sebab perbuatan tertuduh.

Bapa empat anak itu terbang dari China untuk menghadiri kes tersebut.

Undang Undang Jalan Raya di London menyebut seseorang yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu boleh didenda maksimum 1,000 pound dan pemotongan 6 mata dalam lesen memandu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast