Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

KLANG – Pengurusan Bencana Dan Kecemasan Malaysia (Khidmat Malaysia) telah membekalkan sebanyak 4,032 botol air mineral untuk kegunaan penduduk yang terlibat dengan krisis air.

Ketua Pengarahnya, Datuk Iskandar A. Samad berkata, pihaknya dengan kerjasama Pas Kawasan bertungkus lumus menghantar bekalan air ke lokasi terjejas.

“Sebelum ini Pas Kawasan Klang dan kawasan lain di Selangor telah turut menghantar bekalan air dan membantu pendudukan.

“Bagaimanapun, untuk mengurangkan kesengsaraan penduduk, saya menggesa Pas Kawasan di seluruh negara terutama dari Selangor turut menghantar bekalan air mineral di kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Sebanyak 31 kawasan masih terjejas berikutan tiga paip utama pecah berhampiran Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping dijangka mendapat bekalan air selewat-lewatnya Ahad ini.

Setakat ini 69 peratus daripada 65 kawasan yang terjejas sudah pun menerima bekalan.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd berkata, pihaknya sudah pun memulakan proses kerja-kerja pembaikan sejurus berlaku kejadian paip pecah pada 4 Mei lalu dan kerja tanpa henti itu telah siap pada 6 petang pada 7 Mei.

Namun, bekalan yang diaktifkan berlaku kebocoran di beberapa lokasi lain di jajaran paip utama mengakibatkan tempoh pemulihan air tidak dapat dicapai kerana terpaksa melakukan penutupan semula bekalan.

Malah, insiden pergerakan tanah beberapa kali sepanjang tempoh pembaikan juga menyumbang kepada kelewatan kerja.

Menurut Iskandar, Khidmat Malaysia menganggap krisis air yang melanda kawasan di Kapar dan Klang sebagai bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan ribut taufan.

Katanya, selain dari berharap kerajaan Selangor menyelesaikan masalah itu dengan segera, pihaknya telah dan akan melakukan tindakan yang proaktif untuk mengurangkan kesengsaraan penduduk.

Beliau turut merayu orang ramai yang hendak menyumbangkan bekalan air mineral boleh menghubungi ke Pusat Khidmat Pas (PKP) DUN Selat Klang, 14-2 Lorong Teluk Gadong 1, Kampung Sungai Udang, Klang.

Atau untuk sebarang pertanyaan mengenai lokasi penghantaran boleh hubungi Fikri di talian 019-6242434, Adnan (010-7021158) dan Abdul Razak (016-3656559). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast