KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) sedia mendedahkan identiti pemberi maklumat berhubung penyelewengan dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) sekiranya ada jaminan untuk melindungi individu berkenaan.
Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, beliau mahukan kepastian sejauhmana tahap keselamatan dan perlindungan akan diberikan pihak berkenaan kepada individu itu atas kesanggupannya memberi kerjasama dalam isu dana Yapeim.
“Saya telah berjumpa dengan individu itu dan dia menyatakan kesediaan untuk memberi maklumat dan bukti penyelewengan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh mengesahkan akaun Yapeim telah diaudit oleh firma audit terkemuka PricewaterhouseCoopers.
Beliau bagaimanapun berkata, keputusan sama ada laporan audit itu akan didedahkan kepada umum atau tidak, terpulang kepada lembaga pengarah Yapiem untuk menentukannya.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendakwa kira-kira RM1 juta dana Yapeim yang bertujuan untuk membantu anak yatim dikatakan telah disalahgunakan kerajaan dahulu.
Dana berkenaan dikatakan digunakan untuk membayar yuran guaman peguam yang juga pembantu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2017.
Bayaran guaman berkenaan dikatakan bagi membatalkan saman ke atas Yapeim yang difailkan Kemajuan Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Miskin (Pemangkin).
Pemangkin, yang merupakan anak syarikat Yapeim memfailkan saman itu dengan mendakwa yayasan berkenaan menyalahgunakan dana Pemangkin untuk menaja bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ke Eropah, AS dan Australia. – MalaysiaGazette
















