KUALA LUMPUR – Gangguan air di beberapa kawasan di Klang telah mencapai tahap 99 peratus pulih sehingga jam 12 tengah hari tadi.
Menurut Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad, proses meningkatkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi menstabilkan aliran bekalan air sedang giat dilakukan ketika ini.
Katanya, pemantauan dan tindakan di lapangan terus dijalankan dan pihaknya masih menyediakan bantuan lori tangki air untuk menyalurkan bantuan kepada orang ramai.
“Setakat ini hanya satu Pusat Khidmat Setempat yang masih diaktifkan di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas bagi memberi bantuan di tiga premis yang belum mencapai pemulihan sepenuhnya.
“Premis itu di Bandar Putra 2, Parkland dan Taman Sentosa,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Sementara itu, kata Abdul Raof, kerjasama orang ramai untuk tidak membuat simpanan bekalan melebihi penggunaan amat dihargai bagi membantu kelancaran proses pemulihan.
Kata beliau, pelanggan boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor untuk mendapatkan status terkini yang dikemaskini dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette