Wan Suraya bersama Ketua Pengarah IKM, Ariffin Mamat melancarkan buku terbitan IKM pada Majlis Pelancaran Institut Koperasi Malaysia (IKM) di Maktab Koperasi Malaysia, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 16 MEI 2019
Wan Suraya bersama Ketua Pengarah IKM, Ariffin Mamat melancarkan buku terbitan IKM pada Majlis Pelancaran Institut Koperasi Malaysia (IKM) di Maktab Koperasi Malaysia, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 16 MEI 2019

PETALING JAYA – Penjenamaan semula Maktab Koperasi Malaysia (MKM) kepada nama baharu, Institut Koperasi Malaysia (IKM) antara usaha Kementerian Pembangunan Usahawan untuk memperkasakan gerakan koperasi di negara ini.

Kata Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, IKM akan bertindak sebagai peneraju utama kecemerlangan Operator Koperasi (Koperator) yang merupakan antara penyumbang utama ke arah pengukuhan ekonomi negara.

`“Usaha meningkatkan kapasiti koperasi akan berfokus kepada penambahbaikan rantaian nilai, logistik, pemasaran dan penembusan produk koperasi ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya pada media selepas majlis pelancaran penjenamaan IKM di sini, semalam.

Wan Suraya yang mewakili menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, menekankan, dalam menerajui proses transformasi MKM kepada IKM, ia memerlukan kerjasama dari semua pihak termasuk kementerian, agensinya dan para Koperator.

Inisiatif penjenamaan itu secara khususnya memberi penekanan kepada tiga pelan tranformasi IKM yang akan dilaksanakan.

Tiga pelan itu ialah Transformasi Output kepada Outcome dengan memberikan fokus kepada memperkasakan pendapatan koperasi supaya 60 peratus daripada koperasi di seluruh negara mencapai pendapatan melebihi RM1 juta setahun.

Pelan kedua, transformasi untuk melonjak sumbangan daripada koperasi kepada KDNK dari RM42 bilion tahun 2018 kepada RM55 bilion menjelang 2020 menerusi pelbagai program termasuk Liga Koop Jutaan Ringgit (MiRiCLe) di bawah IKM.

Pelan ketiga, transformasi struktur, budaya kerja dan pendekatan turun padang membantu Koperator.

Menurut Wan Suraya, menerusi program MiRiCLe, IKM akan memantau keberkesanan latihan yang disampaikan kepada pertumbuhan pendapatan koperasi yang merangkumi rundingan, latihan, mentoring, coaching, penyelidikan dan penerbitan.

“Bagi jangka masa panjang pula, IKM akan mengembangkan peranan ICOOP daripada empat kursus peringkat Diploma kepada lebih banyak kursus berkaitan dan juga meningkatkan ke peringkat Ijazah di masa hadapan,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut menyempurnakan pelancaran dua buku terbitan IKM iaitu Bongkar Rahsia Kejayaan Koperasi dan Pengurusan Pasar Mini Koperasi.

Buku Bongkar Rahsia Kejayaan Koperasi adalah hasil kompilasi penulisan pegawai IKM yang berkisar mengenai perjalanan 19 koperasi terpilih dalam kalangan 100 koperasi terbaik di Malaysia.

Manakala buku Pengurusan Pasar Mini Koperasi pula ditulis khas untuk semua koperasi, usahawan, pelajar dan pembaca yang hendak mendalami pengetahuan mengenai pasar mini secara menyeluruh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast