Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – UMNO dan rakyat berasa lega apabila mendapat perkhabaran daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengesahkan Malaysia telah menarik balik niat untuk menyertai atau meratifikasi Statut Rom.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sepanjang Ramadan ini, pihaknya melalui saat tegang dan berada di bawah tekanan kerana kerajaan DAP-Pakatan Harapan (PH) melalui Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah masih beria-ia hendak mengkaji dan meneruskan usaha meratifikasi Statut Rome.

Kata beliau, walau Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembatalannya sebelum ini, tetapi masih ada perbezaan pendapat di kalangan pemimpin PH mengenainya.

“Pengesahan PBB bertarikh 15 Mei 2019 dengan kapsyen, ‘Malaysia: Withdraw of the instrument of accession’ telah memberikan rasa lega kita rakyat Malaysia setelah pelbagai perjuangan dan tekanan khususnya dari blok pembangkang, NGO dan individu yang cintakan negara.

“Kita membantah ratifikasi Statut Rom dalam Parlimen. UMNO dan Pas mengadakan ceramah bersama. Kumpulan NGO mengadakan himpunan dengan kemuncaknya himpunan menentang Statut Rom di Sogo pada 4hb Mei lalu.

“Kita tidak perlukan undang-undang luar untuk diamalkan kerana perlembagaan dan perundangan dalam negara kita sudah cukup untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan damai juga selamat untuk rakyatnya,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Beliau berkata, kejayaan rakyat hari ini merupakan sebuah kejayaan bersama menentang kerajaan DAP-PH yang sedang membawa masuk agenda tersembunyi untuk menghapuskan hak Melayu, hak umat Islam dan Institusi Raja-Raja terutama.

Agenda utama mereka adalah untuk menghapuskan kekebalan Raja-Raja Melayu yang selama ini didokong dan dijulang oleh rakyat sebagai hak keistimewaan yang tidak boleh dipertikaikan.

Dalam masa sama, Statut Rom juga memperlekehkan Raja-Raja Melayu, malah segala undang-undang yang terdapat di Malaysia terutama Mahkamah Khas untuk membicarakan Raja-Raja Melayu.

Jelas beliau, agenda demi agenda boleh dilihat yang mahu dibawa oleh kerajaan DAP-PH sepanjang setahun mereka berkuasa.

“Semua agenda yang mahu dibawa ialah berkaitan penghapusan hak istimewa Islam, Melayu, Bumiputera dan sama rata agama melalui cadangan ratifikasi ICERD.

“Jelaslah kerajaan DAP-PH ini merupakan sebuah kerajaan anti Islam dan anti Melayu.

“Kita tahu siapa yang ada di belakang semua agenda yang telah dibawa. Kita tahu keterlibatan individu penting yang sentiasa mencuba dan mengkaji apa jua cara untuk menghapuskan hak istimewa orang Melayu,” ujarnya.

Ismail Sabri yang juga Ketua Pembangkang memberitahu, beliau bersyukur kerana dalam bulan Ramadan yang barakah ini perjuangan mereka diberikan kemenangan oleh Allah.

“Benarlah, dalam bulan mulia ini doa kita semua dimakbulkan oleh Allah SWT. Bagaimana Rasulullah berjaya dalam Perang Badar bersama para sahabat pada 17 Ramadan berdepan kaum Quraisy dan begitu juga kita telah mencatat sejarah kemenangan pada 10 Ramadan menentang bangsa DAP-PH di Malaysia.

“Kita semua harus sujud syukur kepada-Nya atas pengurniaan kemenangan ini yang telah menidakkan agenda jahat DAP-PH yang mahu dibawa.

“Moga Allah terus melindungi kita rakyat Malaysia dari dihina dan dizalimi oleh sebuah kerajaan DAP-PH,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast