Dr. Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) minta ahli akademik, tokoh perundangan dan individu tertentu jangan cepat melenting dengan penubuhan parti baharu itu.

Sebaliknya, berilah peluang kepada Putra untuk menentu dan membuktikan gaya kepimpinan serta perjuangannya yang bermatlamat menjaga kepentingan Melayu, Bumiputera, Islam dan negara.

Menurut Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, beliau konsisten dengan penubuhan parti itu, yang tentunya bukan bermatlamatkan untuk menghalalkan cara atau bercakap tidak serupa bikin seperti berlaku pada parti Melayu lain.

“Saya memberi jaminan, berilah peluang kepada kami untuk menentu dan membuktikan gaya kepimpinan dan perjuangan kami.

“Yang pertama, saya nak tentu dan menegaskan, kita bukan golongan matlamat menghalalkan cara, bukan golongan bercakap di bibir mulut buat lain cakap lain, cakap untuk kepentingan Melayu, tapi buat perkara lain,” katanya kepada media semalam.

Beliau menjawab kritikan beberapa pihak termasuk Tun Abdul Hamid Mohamad yang menyifatkan hasrat Putra hanya sebagai satu angan-angan.

Bekas Ketua Hakim Negara itu juga dilaporkan berkata, Dr. Ibrahim tidak mampu menarik pengundi Melayu, apatah lagi pengundi Cina.

Menurut Dr. Ibrahim, sebaik mengumumkan pendaftaran secara rasmi Putra pada 9 Mei lalu, beliau sudah menjangkakan ada pelbagai kritikan yang akan dilontarkan pihak tertentu mengenai penubuhan parti itu.

“Sememangnya kalau tak ada kritikan dan pertanyaan, saya terkejut. Kalau ada kritikan ini ianya akan membantu mempopularkan parti Putra secara percuma.

“Dan yang mengkritik ini bukan calang orang, ada ahli akademik, tokoh perundangan dan selebihnya seorang dua pemimpin parti politik serta individu yang memuat naik kritikan, persoalan, gurau mengenai Putra dalam laman sosial Facebook.

“Yang dalam Facebook, saya tak terkejut kerana mereka mungkin merupakan cybertrooper yang bekerja dengan parti dan melihat kehadiran Putra sebagai saingan kepada parti periuk nasi mereka,” katanya.

Kritikan dari ahli akademik dan perundangan pula kemungkinan baginya, mereka tidak dapat menghayati sepenuhnya dalam soal perjuangan parti politik secara praktikal.

Katanya, beliau hampir 40 tahun dalam gelanggan perjuangan parti politik, naik turun disepak teranjang ibarat kata sentiasa berada seperti buih di tengah laut.

“Tetapi saya tidak pernah berputus asa dalam perjuangan untuk kepentingan bangsa saya orang Melayu, kaum Bumiputera, agama Islam dan juga negara saya, Malaysia.

“Apatah lagi dalam soal menjaga kepentingan kita orang Melayu, Bumiputera dan Islam, maka sebab itu pada tahun 2008 saya menubuh NGO Perkasa untuk menjadikan wadah perjuangan menjaga kepentingan orang Melayu, Islam dan raja-raja kita.

“Lebih 10 tahun saya berhempas pulas, tetapi yang bercakap dan menegur ini dalam soal untuk menjaga kepentingan kaum Bumiputera mungkin sekadar memberi pandangan, pendapat, tetapi beraksi di medan perjuangan tidaklah sepertimana yang saya lalui,” ujarnya.

Beliau mengimbau bagaimana dirinya digugurkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Kelantan dan disingkirkan dari parti itu kerana perjuangan.

Katanya, beliau tahu tidak ada seorang pun membelanya dan membawa diri serta terus berjuang kerana tahu dirinya bersih dan tidak hipokrit.

“Saya tidak menyertai mana-mana parti politik kerana saya begitu cermat dalam soal kepentingan Melayu. Sepanjang 10 tahun dalam Perkasa ada yang bercakap macam-macam, tetapi adakah mereka pernah membantu Perkasa terutama golongan cybertrooper ini?

“Macam orang akademik, ada seorang dua pernah membantu Perkasa dari segi buah fikiran, pernah hadir program NGO ini, dan ada yang kita beri anugerah tertinggi Perkasa,” katanya.

Menurut Dr. Ibrahim, beliau dan rakan memutuskan menubuh Putra setelah mengambil kira semua perkara, berbincang dan istikharah minta petunjuk dari Allah sama ada apa yang dilakukannya itu memberi faedah atau tidak kepada kepentingan orang Melayu, Islam dan juga negara.

“Akhirnya kita buat keputusan untuk menubuhkan Putra dan ianya telah dilulus pada 8 Mei 2019 dengan nama parti Putra dan lambangnya tanjak, yang simboliknya memberi gambaran kepahlawanan orang Melayu,” katanya.

Berhubung kritikan pihak berkenaan bahawa Putra akan senasib dengan parti KITA, Hamim dan Berjasa, Dr. Ibrahim menjelaskan, kalau ada yang menganggap sedemikian, kenapa perlu bising dan risau.

Katanya, bagi ahli akademik dan pakar perundangan kenapa tidak menulis mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berada dalam Pakatan Harapan (PH) dan berkait rapat dengan DAP?

Begitu juga ujar beliau, Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR yang jelas penubuhan dan fungsi parti itu merugikan Melayu?

“Apabila Putra ditubuhkan tiba-tiba sahaja ada orang Melayu melenting, kononnya ini boleh memecah belahkan Melayu. Kita baru tubuh, belum buat apa-apa lagi sudah ada dakwaan Putra merugikan Melayu.

“Sekurang-kurangnya berilah peluang kita bernafas dahulu, bagilah peluang kita bangkit, bangun dan bergerak. Kita pun ada pengalaman, ambil berat. Jangan fikir mereka ini saja yang ambil berat pasal Melayu.

“Saya lebih lagi berjuang siang malam masuk kampung keluar kampung, dulu masuk ISA keluar ISA, masuk mahkamah keluar mahkamah, diterajang, ditendang ke hulu ke hilir. Saya bersih tidak terlibat dengan perkara buruk,” katanya.

Beliau meminta ahli akademik, tokoh perundangan dan pihak tertentu dalam parti politik agar bertenang, bersabar, tidak menengking dan jangan cepat melenting. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast