LZS kesan ada individu guna logonya untuk kutip derma orang ramai
LZS kesan ada individu guna logonya untuk kutip derma orang ramai

KUALA LUMPUR – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menggunakan logo agensi itu untuk mengutip derma daripada orang ramai.

Menurut kenyataan dikeluarkan, LZS mengesan ada individu tidak bertanggungjawab menggunakan logo berkenaan bagi mendapatkan sumber kewangan.

Kata kenyataan itu lagi, pihaknya ada mengesan tong derma yang ditampal logo LZS diletakkan individu terbabit di tempat tumpuan orang ramai seperti bazar Ramadan.

“LZS tidak pernah membuat kutipan derma daripada orang ramai dan jika ada, ia dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita hanya melaksanakan kutipan zakat melalui 27 cawangan, 14 penolong amil insititusi pengajian tinggi, 95 penolong amil institusi pengajian Islam swasta (IPIS), 14 ejen saluran bayaran, 78 ejen perunding, 2,754 penolong amil fitrah, dan 60 penolong amil padi.

“Setiap pembayaran zakat pula akan mendapat resit rasmi daripada LZS,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette