KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya tujuh Sekolah Menengah Agama (SMA) diwujudkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk Labuan, Sabah.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyatakan, dakwaan wakil Pas, Senator Nuridah Mohd Salleh kononnya tiada satu pun SMA di Wilayah Persekutuan sebagaimana terkandung dalam artikel bertarikh 17 Mei lalu, tidak benar sama sekali.
Ketua Unit Komunikasi Korporat MAIWP, Wan Ahmad Fadhli Shah Wan Mohamad Zain berkata, di Wilayah Persekutuan mempunyai SMA MAIWP Kuala Lumpur di Bandar Sri Permaisuri, Cheras sejak 2007.
Katanya, dua lagi SMA ialah Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) di Bandar Tun Razak dan SMA MAIWP Labuan di Sabah, masing-masing dibina pada 2011.
“Ada beberapa institusi pendidikan aliran agama kepada pelajar peringkat menengah turut dibuka oleh MAIWP, seperti Pondok Moden Al-Abaqirah dan Ma’alim Al-Sunan Li Dirasati Al-Sunnah Al-Nabawiyyah.
“Selain itu, terdapat beberapa SMA lain lagi di Wilayah Persekutuan yang dibuka oleh kerajaan seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Lumpur dan SMKA Putrajaya,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.
Beliau membuat maklum balas itu setelah sebuah akhbar lidah rasmi Pas menyiarkan artikel yang dipetik Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia sebagai berkata berhubung ketiadaan SMA di Wilayah Persekutuan.
Perkara itu dibangkitkan Nuridah ketika perbahasan Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2018 di Dewan Negara pada 9 Mei lalu.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh telah memberikan jawapan kepada persoalan berkenaan, yang kemudian diakui kesilapan tersebut oleh Nuridah. – MalaysiaGazette