Nga Kor Ming.
Nga Kor Ming.

KUANTAN – DAP akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang pemimpin bahagian parti itu di Pahang yang didakwa mengugut Ketua Polis Daerah Jerantut, kata Timbalan Setiausaha Agungnya, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, ia selari dengan prinsip parti yang menghormati dan mematuhi undang-undang, dan buat masa ini memberi ruang secukupnya kepada polis untuk melakukan siasatan.

“Kami serahkan kepada polis dan kami menghormati siasatan mereka. Apabila keputusan polis sudah diperoleh maka parti juga akan mengambil tindakan yang perlu,” katanya.

Nga berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada lawatannya ke Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) hari ini, bagi mengetahui dengan lebih lanjut perjalanan operasi taman industri yang terletak di Gebeng di sini.

Beliau diminta mengulas penahanan pemimpin bahagian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut dekat sini pukul 3.00 petang semalam, bagi membantu siasatan melakukan ugutan jenayah terhadap Supt Mazlan Hassan.

Pemimpin parti berusia 53 tahun itu didakwa telah menghantar mesej berbaur ugutan kepada Mazlan menerusi aplikasi WhatsApp pada Khamis lepas, yang dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap tindakan polis di IPD itu.

Difahamkan ia ekoran tindakan polis merampas dan menahan rokok dan minuman keras tidak bercukai yang didakwa dijual oleh seorang lelaki, yang turut mempunyai jawatan dalam parti.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad yang mengesahkan penahanan suspek menambah dia telah dilepaskan dengan jaminan polis selepas selesai proses rakaman percakapan pada petang semalam. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast