KUALA LUMPUR – DAP menyerang Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bukan semata-mata kerana isu kuota pelajar matrikulasi, sebaliknya ia adalah perancangan rapi parti itu untuk ‘membunuh’ masa depan pelajar Melayu.
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, jika DAP jujur sebagai komponen kerajaan Pakatan Harapan (PH), mereka tidak sepatutnya memperlekehkan kredibiliti Maszlee sebagai anggota jemaah menteri.
“Tetapi oleh kerana jenis politik rasis DAP, mereka sanggup lakukan apa sahaja jika ianya menyentuh kepentingan umat Melayu di negara ini.
“Saya mengecam keras tindakan pemimpin DAP yang mempersoal sistem kuota matrikulasi kerana itu adalah hak dan jaminan kepada orang Melayu sepertimana tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam entri terbaru di akaun Facebooknya, hari ini.
Khamis lalu, Maszlee dilaporkan berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi, juga perlu membangkitkan isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.
Maszlee berkata, semua pihak perlu memastikan bahawa peluang pekerjaan kepada Bumiputera tidak dinafikan semata-matanya kerana mereka tidak boleh berbahasa Mandarin.
Kenyataan Maszlee itu mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.
Syed Ali juga berkata, dalam isu kepentingan orang Melayu, semua pihak perlu memperjuangkan bersama Maszlee dalam mempertahankan pengekalan sistem kuota matrikulasi yang cuba dirobek oleh DAP.
“Tiada batasan dan kepentingan politik jika maruah serta hak orang Melayu cuba dihapuskan oleh DAP yang berselindung di sebalik kerajaan Malaysia Baru.
“Kita semua dituntut untuk bangkit mempertahankannya,” katanya. – MalaysiaGazette