KUALA LUMPUR – Kenyataan demi kenyataan bercanggah berhubung isu matrikulasi seolah-olah tiada jalan penyelesaian itu dilihat semakin parah dari sehari ke sehari.

Hampir semua kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak sekata dengan masing-masing mempunyai pendapat tersendiri.

Malah isu ketidaksamarataan kouta matrikulasi dikaitkan dengan isu lain seperti diskriminasi pengambil pekerja dalam sektor swasta.

Terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bagan Dalam, Satees Muniandy yang mempersoalkan jika pemilihan pekerja sektor swasta dikatakan rasis bagaimana pula dengan pemilihan pekerja di sektor awam.

Terdahulu, Exco Armada, Muzzamil Ismail berang dengan serangan bertubi-tubi pemimpin parti berasaskan kaum Cina seperti DAP, MCA dan Gerakan terhadap Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Muzzamil berkata, seandainya mahu berbicara soal keadilan untuk bumiputera dalam isu matrikulasi maka bubarkan dulu sekolah vernakular.

Pada minggu lalu, Maszlee berkata, adalah tidak adil jika kuota matrikulasi untuk bukan Bumiputera dilonggarkan tetapi pada masa sama majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapat pekerjaan yang secara langsung menafikan hak kaum Bumiputera.

Exco Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV), Mathis Sarawanan berpendapat, jelas sekali rata-rata pimpinan PH bercakaran antara satu sama lain bukan kerana kepentingan isu tersebut, sebaliknya hanya sekadar mahu menjadi ‘hero’.

“Kedua-dua mereka (Armada, DAP) adalah ahli parti kerajaan, salah seorangnya sudah berstatus YB pun tapi masih bergaduh tentang ini dan itu. Sebab apa? Sebab hendak jadi hero.

“Matrikulasi ada isu? Ya. Peluang pekerjaan sektor swasta ada isu? Ya.

“Namun kedua-dua mereka ini tidak terima dan akui masalah asas sebaliknya berterusan saling tuduh menuduh untuk kepentingan serta survival politik masing-masing. Sehingga bila-bila tidak akan selesai.

“Niat mereka hanya mahu ‘score political points’ sahaja. Lagi DAP tekan, lagi Bersatu lawan. Lagi PPBM tekan, lagi DAP lawan. Nak jadi hero, dan kesan paling bahaya akibat ketamakan dua orang ini, rakyat menilai isu ini dari perspektif ‘Melayu vs Bukan Melayu’,” katanya sebentar tadi.

Jelas Mathis lagi, masyarakat akan terus berpecah kerana idealogi ahli politik yang tidak sama dan mempunyai agenda peribadi kononnya untuk terus memperjuangkan nasib mereka.

“Kita akan terus berpecah di antara satu sama lain. Sebab itu saya katakan ini isu berbeza, jangan campur aduk.

“Isunya akan berpanjangan, kita pula akan terus menyalahkan antara satu sama lain, rasa tak puas hati dan akhirnya bergaduh sama sendiri tanpa apa-apa sebab yang berkepentingan. Masalah sebenar tidak akan selesai sehingga bila-bila.

“Semua sebab apa? Sebab terikut-ikut mainan politik seperti segelintir pimpinan ini. Inilah contoh dasar ‘pecah, perintah’.

“Kita takkan bersatu selagi mana kita terus ikut telujuk orang-orang yang tamak kuasa seeperti ini,” tegasnya. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/20/serangan-terhadap-maszlee-bersifat-rasis-armada/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast