Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim
Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Nasional (PAN) Perak meminta semua pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengadakan perbincangan tertutup berhubung isu kuota pengambilan pelajar ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim berkata, perbincangan itu bagi memberi peluang agar data dan maklumat terperinci dapat dibentangkan dengan lebih terperinci.

“Seterusnya mereka boleh membuat penilaian sama ada tujuan serta matlamat asal program itu telah tercapai atau pun sebaliknya sebelum apa-apa tindakan berkaitan kuota pengambilan ditentukan.

“Ketika ini kami melihat kuota sedia ada dan pengumuman penambahan jumlah pengambilan daripada 25,000 kepada 40,000 tempat kepada pelajar untuk program ini dikekalkan dan diteruskan.

“Selain itu, kami berpandangan program Tingkatan 6 untuk pelajar mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diperkasakan dan dinilai sama ada wujud keperluan bagi menambah bilangan tempat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini.

Beliau menjelaskan, program Tingkatan 6 adalah sebagai langkah bagi memberi lebih peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian.

Di samping itu, kerajaan juga digesa memperbanyakan program berteraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri dalam dan luar negara.

“Ini bertepatan dengan gelombang Revolusi 4.0 yang pesat berkembang pada hari ini,” katanya.

Beliau mengingatkan pihak tertentu yang cuba menjadikannya sebagai isu perkauman agar menghentikan sebarang bentuk provokasi kerana tindakan itu tidak mendatangkan faedah dan kebaikan kepada pendidikan negara.

Justeru, tegasnya, Pemuda PAN Perak menganggap tiada keperluan untuk Dr. Maszlee Malik meletakkan jawatan sebagai Menteri Pelajaran.

Ini kerana, berdasarkan prestasinya dalam menerajui kementerian menunjukkan banyak inisiatif yang telah dan sedang diperkenalkan dalam memacu pendidikan negara ke arah sistem lebih baik pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast