KUALA LUMPUR –  Moody’s Investors Service berkata, unjurannya terhadap sistem perbankan Malaysia kekal stabil berikutan penampan penyerap kerugian akan mengurangkan potensi peningkatan kos kredit dan keberuntungan yang sederhana untuk tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

“Bank berada pada kedudukan yang baik dalam menangani cabaran berhubung kelemahan ekonomi Malaysia dan sektor minyak dan gas, harta tanah dan pembinaan yang terjejas, disokong terutamanya oleh rizab kerugian pinjaman dan nisbah modal yang kukuh,” menurut naib presiden dan pegawai kredit kanannya Alka Anbarasu.

Kelembapan perdagangan, pelaburan swasta dan perbelanjaan kerajaan akan mempengaruhi pertumbuhan keluaran dalam negara kasar yang sederhana pada kadar 4.4 peratus pada 2019 dan 4.3 peratus pada 2020.

Bagaimanapun, permintaan dalam negeri swasta akan kekal disokong oleh kedudukan pekerjaan yang kukuh dan pertumbuhan upah, kata Moody’s dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, walaupun risiko aset akan meningkat, prestasi pinjaman keseluruhan seharusnya kekal stabil dengan penampan kerugian pinjaman yang kukuh adalah mencukupi untuk menyerap potensi kenaikan terhadap delikuensi.

Rizab kerugian pinjaman bagi kebanyakan bank yang diberi penarafan meningkat pada 2018 susulan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9.

Menurut Moody’s, permodalan juga akan stabil.

“Meskipun keuntungan yang rendah, bank boleh meraih modal mencukupi untuk menyokong pertumbuhan aset menerusi pengoptimuman aset berwajaran risiko dan pelaburan semula dividen. Mengesahkan daya tahannya, nisbah modal seluruh sistem masih mematuhi keperluan peraturan walaupun dalam keadaan tekanan,” katanya.

Beliau berkata keberuntungan akan merosot disebabkan oleh pertumbuhan aset yang perlahan dan persaingan sengit bagi deposit yang akan memberi tekanan kepada margin faedah bersih dan pendapatan pra-peruntukan.

“Namun, pembiayaan dan kecairan seharusnya kekal kukuh berikutan pertumbuhan deposit yang seiring dengan pertumbuhan pinjaman yang sederhana,” katanya. – MalaysiaGazette