KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mencari formula untuk memastikan rakyat negara ini yang berulang-alik bekerja di Singapura mendapat manfaat terbaik daripada penangguhan projek Sistem Transit Rapid (RTS).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, kerajaan Malaysia dan Singapura pada dasarnya bersetuju untuk menangguhkan, bukan membatalkan projek itu sehingga pendekatan baharu tercapai dan kos pembinaan lebih efektif.
“Kita sudah umum bersetuju untuk menangguhkan sehingga September ini, Jadi, dalam tempoh yang ada ini, kedua pihak akan memikirkan penyelesaian yang terbaik untuk meneruskan projek tersebut.
“Kementerian saya, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sedang berbincang untuk mencari formula yang terbaik.
“Kita mahu rakyat khususnya yang berulang alik bekerja di Singapura mendapat manfaat yang terbaik agar pengangkutan termurah dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan aplikasi mudah alih FlySmart di KL Sentral di sini, hari ini.
Selasa lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan kerajaan Malaysia akan membayar RM2 juta kepada Singapura sebagai kos penangguhan projek RTS.
Kata beliau, kos penangguhan itu akan dibayar kepada Singapura sebelum 30 Julai ini.
Kos berkenaan bukan pampasan, namun jumlah yang sudah dibelanjakan republik itu bagi pelaksanaan projek RTS di Singapura.
Pada hari itu, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian tambahan RTS, iaitu menangguhkan projek berkenaan hingga 31 September ini.
Penangguhan akan membolehkan kedua-dua negara untuk meneliti semula pendekatan dan struktur projek RTS supaya ia lebih kos efektif. – MalaysiaGazette