KUALA LUMPUR – Produktiviti buruh Malaysia yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja, meningkat 2.4 peratus pada suku pertama tahun ini selepas mencatatkan 3.0 peratus pada suku sebelumnya.
Pada suku ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar Malaysia (KDNK) tumbuh 4.5 peratus (ST4 2018: 4.7%) manakala jam bekerja meningkat 2.0 peratus berbanding 1.7 peratus pada ST4 2018.
Produktiviti buruh yang digambarkan sebagai nisbah nilai ditambah kepada pekerja merekodkan pertumbuhan 2.2 peratus (ST4 2018: 2.3%) dengan pekerja meningkat 2.2 peratus (ST4 2018: 2.4%).
Ketua Perangkawan, Datuk Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, produktiviti buruh mengikut jam bekerja untuk sektor pertanian pulih kepada 3.0 peratus daripada pertumbuhan negatif 0.7 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh tanaman & ternakan dan perhutanan & pembalakan yang mencatatkan prestasi yang lebih baik pada suku ini.
Nilai ditambah sektor ini pulih dengan ketara meningkat sebanyak 5.6 peratus (ST4 2018: -0.1%) manakala jam bekerja berkembang 2.5 peratus (ST4 2018: 0.6%).
Sementara itu, produktiviti buruh mengikut pekerja meningkat 3.4 peratus berbanding negatif 0.3 peratus pada suku sebelumnya dengan pekerja meningkat 2.2 peratus (ST4 2018: 0.2%).
Pertumbuhan produktiviti buruh mengikut jam bekerja bagi sektor perlombongan dan pengkuarian bertambah baik dengan mencatatkan kejatuhan marginal 0.8 peratus berbanding negatif 1.6 peratus pada suku sebelumnya.
Nilai ditambah sektor ini terus merekodkan pertumbuhan negatif bagi enam suku berturut-turut dengan pertumbuhan negatif 2.1 peratus (ST4 2018: -0.7%) manakala jam bekerja menguncup 1.3 peratus (ST4 2018: 0.9%).
Sementara itu, produktiviti buruh mengikut pekerja mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.6 peratus (ST4 2018: 2.7%) dengan pekerja jatuh 4.6 peratus (ST4 2018: -3.3%) pada suku ini.
Produktiviti buruh mengikut jam bekerja bagi sektor pembuatan meningkat 3.4 peratus berbanding 3.0 peratus pada suku sebelumnya.
Katanya, dari segi nilai ditambah, sektor ini mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus (ST4 2018: 4.7%) manakala jam bekerja tumbuh sederhana 0.7 peratus (ST4 2018: 1.7%).
Pertumbuhan produktiviti buruh tertinggi dicatatkan oleh produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan pada 9.9 peratus (ST4 2018: 5.8%).
Ini diikuti oleh peralatan pengangkutan, pembuatan lain & pembaikan pada 6.7 peratus (ST4 2018: 6.7%) dan produk petroleum, kimia, getah & plastik (ST1 2019: 5.6%; ST4 2018: 3.8%).
Sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan produktiviti buruh mengikut jam bekerja sebanyak 4.5 peratus berbanding 5.6 peratus pada suku sebelumnya.
Pada suku ini, nilai ditambah bertumbuh perlahan kepada 0.3 peratus (ST4 2018: 2.6%) manakala jam bekerja jatuh 4.1 peratus (ST4 2018: -2.9%).
Sementara itu, produktiviti buruh mengikut pekerja meningkat sederhana pada 4.5 peratus (ST4 2018: 5.3%) dengan pekerja jatuh 4.0 peratus (ST4 2018: -2.6%).
Pertumbuhan produktiviti buruh mengikut jam bekerja bagi sektor perkhidmatan meningkat 2.9 peratus berbanding 4.0 peratus pada suku sebelumnya, katanya.
Nilai ditambah sektor ini mencatatkan pertumbuhan 6.4 peratus (ST4 2018: 6.9%) manakala jam bekerja meningkat 3.4 peratus (ST4 2018: 2.8%).
Pertumbuhan produktiviti buruh tertinggi telah dicatatkan oleh perdagangan borong & runcit pada 5.7 peratus (ST4 2018: 6.0%) dan diikuti oleh hartanah & perkhidmatan perniagaan (ST1 2019: 5.3%; ST4 2018: 7.7%).
Di sebalik momentum sederhana produktiviti buruh bagi sektor ini, tiga subsektor mencatatkan prestasi yang lebih baik pada suku ini berbanding suku sebelumnya iaitu pengangkutan & penyimpanan (ST1 2019: 4.9%; ST4 2018: 3.1%), maklumat & komunikasi (ST1 2019 : 3.6%; ST4 2018: 2.5%) dan utiliti (ST1 2019: 3.3%; ST4 2018: 2.8%).
Produktiviti buruh yang digambarkan sebagai nisbah nilai ditambah kepada pekerja kekal 2.9 peratus dengan pekerja meningkat 3.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada suku sebelumnya. – MalaysiaGazette