KUALA LUMPUR – Biarpun bukan beragama Islam, namun ia tidak menghalang pemilik pasar raya Fresh Grocer, Sreedran Sankaran untuk menjamu para pelanggannya serta golongan asnaf beragama Islam.
Ini kerana Sreedran percaya bahawa bulan Ramadan mempunyai pelbagai kebaikan, lebih-lebih lagi jika memberi sumbangan kepada golongan yang tidak bernasib baik.
“Bulan Ramadan ini memang bulan yang bagus, sebab itu kita nak bersama dengan pelanggan kita berbuka puasa.
“Ini program tanggungjawab sosial (CSR) setiap tahun kita buat program ini, tapi tahun ini kita buat berbeza sikit dengan membuat majlis berbuka puasa dengan asnaf.
“Tahun akan datang kalau niaga kita lagi bagus kita akan beri lebih banyak sumbangan kepada orang asnaf,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa bersama 150 penghuni Rumah Kasih-Asnaf Wilayah Persekutuan dan Selangor di pekarangan pasaraya Fresh Grocer di Pusat Perniagaan Amber Cheras, di sini, hari ini.
Selain menjamu selera, golongan asnaf dan anak yatim turut diberikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM250 setiap seorang.
Antara barangan yang disumbangkan pada majlis tersebut ialah beras, gula, tepung, minyak masak, kain pelekat, kain sarung dan kopiah.
Dalam pada itu, menyentuh kepada operasi Fresh Grocer yang diusahakan itu, Sreedran berkata pasaraya itu menjanjikan harga barangan pada kadar rendah di samping mengekalkan mutu dan kesegarannya.
“Keistimewaan pasaraya kita ialah di bahagian barangan segar, kita beli terus daripada nelayan, ikan dan hasil laut kita beli dari Sungai Besar, kemudian kita boleh dapat harga yang berpatutan dengan barangan segar.
“Kita harap pelanggan kita dapat jimatkan poket, pilih pasaraya yang jual murah boleh jimat sikit khususnya sempena hari raya.
“Kita ada lebih kurang 100 jenis barangan kita memang jual (harga) gila-gila seperti timun sekilo 99 sen, minyak masak buruh RM15.99, mee kuning 400 gram kita jual 49 sen saja,” katanya.
Ditanya produk halal di premisnya, beliau berkata semua produk makanan sama ada barangan segar mahupun siap proses mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Kita beli setiap barangan segar seperti ayam dan daging semua ini kita ada pamerkan sijil halal daripada Jakim yang diberi oleh pembekal kita.
“Di pasaraya ini juga, lebih 90 peratus pelanggan kita orang Islam dan Melayu dan kita jual semua barangan halal dan tiada langsung barang tidak halal,” katanya.
Beliau turut merancang untuk membuka cawangan kedua Fresh Grocer di Tanjung Karang, Selangor selewat-lewatnya Oktober ini.
“Di sana (Tanjung Karang) ada lebih kurang 15 kedai dan kita buat lebih besar dari sini.
“Kita pilih Tanjung Karang kerana sewa kedai di situ murah dan di sana pula kurang saingan berbanding Kuala Lumpur terlalu ramai pesaing,” katanya.
Selain produk makanan, beliau turut merancang untuk menjual barangan perkakasan rumah di dalam pasarannya pada masa akan datang.
“Kita bukan saja jual barangan makanan tapi ada juga perkakas rumah, barangan RM2 pun kita ada dan tidak lama kita kita akan masukkan Mr DIY dalam kedai kita juga pada Ogos ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette