Mira Filzah.

KUALA LUMPUR – Pelakon Mira Filzah rasa bersalah atas fenomena ‘baby sayang’ yang mengakibatkan ada haiwan yang dibinuh kejam baru-baru ini.

Mira tidak menyangka ianya akan mencetuskan tindakan di luar norma sehingga seperti itu.

“Saya berasa serba salah apabila ada haiwan yang terkorban gara-gara panggilan berkenaan. Semestinya saya tidak menyangka sehingga begitu sekali kesannya,” kata Mira ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim Rumah Nur Sakinah, Subang Jaya.

Mira menambah beliau dimaklumkan tentang video itu namun tidak sanggup menyaksikan kekejaman yang dilakukan.

“Saya tidak tergamak untuk menonton video berkenaan kerana berpendapat ia terlalu kejam. Individu itu pastinya memerlukan bantuan. Saya sendiri tidak tahu apa masalahnya?

“Baby sayang adalah panggilan positif untuk orang yang kita sayangi. Ia tidak seharusnya disalahgunakan sehingga ke peringkat begitu,” kata Mira lagi.

Pelakon drama Pujaan Hati Janda itu juga mengaku sering kali diminta untuk menyebut panggilan manja itu berulang kali di mana-mana sahaja. Justeru beliau mahu ia dihentikan.

“Saya rasa sudah cukuplah dengan ‘baby sayang’ kerana ke mana-mana sahaja saya pergi, pasti diminta menyebut panggilan manja itu,” ujarnya.

Baru-baru ini tular di sosial media video seorang lelaki menembak kepala seekor monyet sehingga mati kerana mahu haiwan itu menyebut ‘baby sayang’.

Polis kemudian menahan seorang pengusaha kebun pisang dan anaknya di Taman Kenangan Setiawan, Perak pada 21 Mei lalu, selepas dipercayai terbabit tindakan tidak wajar itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast