KUALA LUMPUR – Keputusan Lebuh Raya DUKE Fasa 3 Sdn. Bhd. (LDF3) menutup lorong kiri Lebuh Raya Persekutuan dari arah ibu kota ke Petaling Jaya mulai hari ini akan mengundang masalah kepada pengguna jalan raya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Justeru, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengesa LDF3 menangguhkan dahulu kerja pemasangan rasuk projek Lebuh Raya Setiawanga- Pantai Espressway (SPE) sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri atau boleh bermula pada 7 Jun.
“Sekarang ini sudah 10 hari terakhir Ramadan. Banyak akan berlaku pergerakan kenderaan pada siang dan malam, yang mana pelbagai urusan perlu dilakukan orang ramai, selain urusan ibadat dan persiapan menjelang raya.
“Ketika inilah sanak saudara dan keluarga berkunjung antara satu sama lain, yang tentunya akan mengganggu kelancaran pergerakan atau perjalanan mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau mengulas kenyataan LDF3 semalam, yang memaklumkan lorong kiri Lebuh Raya Persekutuan dari arah ibu negara menghala ke Petaling Jaya akan ditutup bermula hari ini hingga 9 Jun ini.
Penutupan dari jam 10 malam hingga 6 pagi itu adalah untuk memberi laluan kepada kerja pelancaran dan pemasangan rasuk sementara projek SPE.
Bagaimanapun, LDF3 menyediakan pasukan tindakan kecemasan (ERT) yang akan ditempatkan bagi memantau keadaan dan memudahkan aliran trafik jika wujud masalah di kawasan berkenaan.
Menurut Dr. Ibrahim, LDF3 sepatutnya prihatin dan sedar bahawa waktu yang dipilih untuk melaksanakan kerja SPE itu adalah kesibukan umat Islam menjelang Hari Raya Adilfitri.
Mungkin apabila jam 10 malam mula ditutup pasti ada yang sampai ke destinasi lewat satu atau dua jam.
“Kita menggesa LDF3 menangguhkan dahulu penutupan itu sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri atau sekurang-kurangnya jalan ditutup dari jam 1 tengah malam hingga 5 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette