KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memuji tindakan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu melantik ahli majlis senat universiti dalam kalangan penuntut yang masih aktif mengikuti pengajian.
Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, pelantikan itu dilihat dapat memperkasakan peranan penuntut di universiti dan membantu majlis senat universiti untuk lebih memahami berkaitan pengajian, program serta kaedah pengajaran dan pembelajaran pelajar-pelajar di universiti.
“Pelantikan penuntut ini juga diharap membantu membentuk pentadbiran universiti yang lebih bebas dan dekat dengan pelajar.
“GPMS sentiasa menyokong usaha-usaha ke arah menjadikan institusi pengajian tinggi menjadi lebih maju dan bebas untuk menentukan hala tuju dan kaedah terbaik seiring dengan amalan pengurusan universiti terbaik global.
“Sudah sampai masa universiti-universiti di Malaysia diperkasakan dengan nafas baru melalui penglibatan langsung penuntut di dalam hala tuju dan masa depan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, UniSZA melakar sejarah tersendiri apabila menjadi universiti awam pertama di Malaysia melantik dua penuntut menjadi Ahli Senat universiti.
Penuntut yang dilantik ialah penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah), Harun Osman dan penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Ahmad Kamil Makhtar.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa, Ahmad Suffian Mohd Dalizan dan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan, Ain Syazana Zolkepli, pula dilantik sebagai pemerhati dewan.
Menurut Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, pelantikan itu adalah langkah strategik bagi menyahut seruan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu memberi nafas baharu dalam proses pemerkasaan penuntut.
Mohd Alif Anas turut menggesa lebih banyak institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta untuk mengikuti langkah ini.
“Selain dari manfaat yang boleh diterima oleh pihak universiti, penuntut yang diberikan peluang seperti ini boleh melatih ciri-ciri kepimpinan peribadi dan membantu rakan-rakan pelajar mereka beroleh pengalaman akademik lebih bermakna,” katanya lagi. – MalaysiaGazette