Roller Coaster Twister di taman tema Lightwater Valley theme. foto Agensi

NORTH YORKSHIRE – Seorang kanak-kanak lelaki 6 tahun terjatuh dari roller coaster Twister yang dinaiki di Lightwater Valley dekat, Ripon, terpaksa dikejarkan dengan helikopter ke hospital.

Saksi-saksi berkata, mereka terdengar jeritan dan melihat mangsa sedang bergayut di belakang dari tempat duduknya.

Susulan kejadian itu, taman tema berkenaan ditutup dan pakar keselamatan berada di lokasi untuk lakukan siasatan.

“Kami mengutamakan keselamatan pengunjung secara serius dan komited menyediakan sokongan kepada keluarga mangsa,” kata taman tema itu.

Polis berkata, mangsa sedar selepas terjatuh dan keadaan mangsa dipercayai tidak mengancam nyawa.

Seorang pengunjung, Lara-Susan James yang sedang beratur untuk menaiki Twister berkata, dia boleh mendengar jeritan mangsa.

“Pada mulanya saya ingat dia takut tetapi suaranya seperti histeria.Orang ramai yang berada tidak jauh dari kami juga menjerit meminta operator menghentikan permainan itu. Ketika itu saya dapat rasakan sesuatu berlaku,” katanya.

Pada Jun 2001, seorang penuntut perubatan, Gemma Savage mati apabila dua kereta permainan dalam taman tema itu bertembung.

Pemilik taman tema, pengeluar permainan dan juruelektrik kemudian dikenakan saman denda kerana melanggar peraturan keselamatan. – MalaysiaGazette