Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin meluangkan masa beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir Majlis Rumah Terbuka di kediamannya yang terletak di Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 06 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Projek  ‘Anaerobic Digester’ yang bakal dibangunkan di Jalan Memanda, Taman Datuk Ahmad Razali akan dihentikan segera sekiranya terbukti memberi kesan negatif kepada penduduk dalam tempoh enam bulan pertama perlaksanaannya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin juga memberi jaminan projek itu apabila dilaksanakan nanti akan dipantau dan diuruskan secara sistematik bagi mengelak sebarang masalah kebocoran dan sebagainya.

“Saya berani katakan, projek itu kalau dalam masa enam bulan apa yang disebut penduduk iaitu busuk, gas bahaya kesihatan dan sebagainya terbukti berlaku, saya akan hentikan segera operasi pusat itu.

“Tetapi biar kami buat dulu, ini bukan nak cuba ya, saya memang nak laksanakan supaya ia beroperasi juga,” katanya di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di kediamannya di Kampung Melayu di sini.

Menurut Zuraida, projek tersebut bertujuan mengumpul sisa makanan bagi mengelak penduduk kawasan sekeliling membuang makanan di longkang yang mengundang tikus sekali gus menangani isu kesihatan.

Menurutnya, dengan adanya pusat pengumpulan sisa makanan berkenaan kerajaan akan membuat proses kompos sisa makanan menjadi baja pertanian.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan syarikat yang akan membuat Anaerobic Digestor telah bertemu penduduk dan memberi penerangan kerana mereka yang duduk sekitar kawasan projek itu gagal diberi penerangan penuh sebelum ini.

“Saya tahu mereka risau sangat kononnya akan ada keluar masuk lori berat bawa sisa busuk dan mesin kompos makanan keluarkan gas dan bau yang dibimbangi menjejaskan kesihatan dan alam sekitar.

“Tapi teknologi dah moden tidak ada lagi tentang isu bau dan sebagainya sebab sisa makanan ini akan dihantar oleh penduduk sekitar, cuma rasanya perlukan sedikit penjelasan lagi untuk mereka faham,” kata beliau.

Menurut Zuraida, setakat ini penduduk Kampung Melayu Ampang dan  Pangsapuri Permai Court telah faham konsep projek tersebut dan selepas ini tumpuan akan diberi kepada penghuni Kondominium Kojaya yang diselubungi kebimbangan.

Katanya, selain penduduk boleh menghantar sisa makanan ke pusat tersebut, pihaknya jug merancang mewujudkan sukarelawan untuk memungut sisa makanan untuk hantar ke pusat pelupusan sebelum diproses menjadi baja pertanian dan gas (jika melibatkan jumlah sisa besar).

“Setiap sisa akan ditimbang dan diberi mata ganjaran yang boleh ditebus dalam bentuk mata untuk membeli barang dan boleh menjadi sumber pendapatan penduduk.

“Jadi ia hanyalah isu sementara sahaja dan kalau mereka dapat maklumat lebih sepenuhnya Insyallah mereka akan faham konsep itu,’ tegasnya lagi.

Sebelum ini Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) mendesak menggesa agar Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Zuraida mendengar rintihan serta pandangan masyarakat setempat sebelum melaksanakan projek ‘Anaerobic Digester’ itu.

Ketuanya Shahir Adnan mendakwa projek itu dibantah penduduk setempat di kawasan Ampang Jaya ekoran pencernaan anaerobik merupakan langkah penguraian bahan organik dengan menggunakan bakteria.

Beliau berkata, proses biologi ini akan menghasilkan gas khususnya metana dan karbon dioksida yang dapat memberi kesan tidak baik terhadap kesihatan.

“Teknologi ini memang wujud di negara luar namun mereka tidak menjadikan kawasan berhampiran perumahan dan sekolah sebagai tapak projek.

“Malangnya di Malaysia tapak projek ini betul-betul bersebelahan kawasan perumahan dan ia melanggar penetapan peraturan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang meletakkan zon penampan 350 meter daripada sumber pencemaran ke sempadan penempatan,” katanya

Lebih merisaukan katanya, zon projek itu juga terletak berdekatan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Ahmad Razali, Sekolah Tinggi Islam As-Sofa dan beberapa tadika yang dibimbangi akan memberi kesan kepada kesihatan mereka selepas ini.- MalaysiaGazette