Husam Musa

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan digesa menubuhkan jawatankuasa forensik bebas bagi menyiasat kematian 14 Orang Asli Suku Bateq di Kelantan sejak 2 Mei lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Senator Husam Musa berkata, badan bebas itu diperlukan untuk memastikan tiada salah laku dilindungi oleh pihak tertentu.

“Saya berharap semua pihak termasuk kerajaan negeri bekerjasama mencari punca sebenar kejadian dan jumlah kematian yang besar dalam masa singkat tanpa tujuan melindungi apa-apa.

“Sebuah jawatan kuasa forensik bebas patut ditubuhkan untuk mengkaji semua aspek dan segala kemungkinan,” katanya yang dimuat naik di Facebook miliknya.

Sebelum ini, seramai 14 penduduk orang Asli Suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang disahkan meninggal dunia akibat jangkitan dan radang paru-paru atau Pneumonia sejak 2 Mei sehingga Jumaat lalu.

Bagaimanapun, hanya dua disahkan mati akibat jangkitan tersebut berdasarkan bedah siasat manakala selebihnya telah dikebumikan di sempadan hutan Kelantan-Pahang.

Husam turut menyambut baik langkah yang dicadangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam menangani isu kebajikan dan hal ehwal Orang Asli di Kuala Koh.

“Peristiwa yang menimpa Orang Asli Kuala Koh merupakan peristiwa kemanusiaan untuk iktibar serta perhatian kita bersama.

Atas ehsan kemanusiaan masalah Orang Asli adalah masalah kita semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette