BUDAPEST – Sekurang-kurangnya empat lagi mayat ditemui selepas bot penumpang yang tenggelam di Sungai Dabube dinaikkan.
Semasa kejadian, bot yang dinamakan Mermaid membawa para pelancong Korea Selatan.
Bot tersebut kemudian dilanggar oleh sebuah kapal persiaran menyebabkan ia tenggelam dan mengorbankan 20 orang dan lapan lagi hilang.
Pelbagai usaha dijalankan untuk menaikkan bot tersebut tetapi sukar disebabkan paras air meningkat.
Sebaik sahaja bot berkenaan dinaikkan, anggota pasukan penyelamat mengesan mangsa-mangsa yang dipercayai masih terperangkap di dalamnya.
Mayat-mayat yang ditemui dipercayai terdiri daripada tiga warga Korea Selatan dan kapten bot yang berasal dari Hungary, menurut agensi berita Yonghap.
Kapal pelayaran Viking Sigyn melanggar Mermaid pada 29 Mei ketika kedua-dua kapal itu melepasi Jambatan Margit.
Tujuh daripada 35 orang dalam bot tersebut telah diselamatkan dan beberapa mayat lain telah dijumpai.
Tetapi, terdapat mangsa-mangsa yang dibawa arus atau terperangkap dalam bot berkenaan.
Setakat ini tidak dapat dipastikan kekuatan hentakan perlanggaran membabitkan bot dan kapal berkenaan kerana bot itu tenggelam dalam tempoh tujuh saat selepas dilanggar. – MalaaysiaGazette