Hasnul Zulkarnain Abd Munaim
Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim.

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Perak mengucapkan tahniah kepada Dr. Nur Amalina Che Bakri kerana berjaya melakukan pembedahan ke atas kanak-kanak Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, Pemuda PAN negeri itu mengikuti rapat perkembangan kesihatan Ainul Mardhiah yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor.

Katanya, hasil sumbangan orang ramai dan beberapa pihak lain, Ainul Mardhiah telah berjaya diterbangkan ke United Kingdom (UK) untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tumor seberat 200 gram dari mulutnya.

“Kita mengucapkan tahniah kepada Dr. Nur Amalina yang mengambil inisiatif untuk berhubung secara langsung dengan Nurul Erwani Zaidi ketika ibu kanak-kanak itu menghadapi masalah dengan penyakit dihidapi anaknya.

“Bermula dengan berhubung melalui media sosial antara keduanya, semua urusan dapat dijalankan dengan baik sehingga hari ini kita dimaklumkan pembedahan yang diketuai Prof David Dunway dan Mr Juling Ong berjaya dikendalikan meskipun pembedahan ini berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Di sebalik kejayaan pembedahan yang mengambil masa kira-kira lima jam itu, nama seorang doktor muda, Dr. Nur Amalina adalah antara watak penting yang memberi harapan kepada usaha ini.

Dr Nur Amalina telah membuktikan bahawa atas sikap ingin menolong, semua cabaran dapat diharungi sekiranya usaha dan ikhtiar dibuat sepenuh daya bagi mencari jalan penyelesaian.

Inisiatif dan peranan Dr. Nur Amalina harus diberikan pujian kerana kesungguhan dan semangat beliau untuk membantu orang lain yang dalam kesulitan seharusnya menjadi contoh kepada anak muda Malaysia.

Menurut Hasnul Zulkarnain, sifat inilah yang sebenarnya menjadi harapan terhadap generasi muda Malaysia pada masa hadapan, bertanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri, malah sedia berkorban untuk membantu orang lain.

Kata beliau, Pemuda PAN Perak sekali lagi mengucapkan tahniah kepada pasukan doktor yang terlibat dalam pembedahan itu khususnya Dr. Nur Amalina yang selayaknya menjadi contoh tauladan kepada anak muda Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast