Nik Omar Nik Abdul Aziz
Nik Omar Nik Abdul Aziz

PUTRAJAYA – Tekanan berterusan pihak berkuasa India ke atas penceramah antarabangsa, Dr. Zakir Naik sejak dua tahun lalu adalah satu bentuk pencabulan terhadap hak asasi manusia.

Tegas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz tekanan itu amat dikesali, tambahan pula semua pertuduhan ke atas Dr. Zakir belum dibuktikan.

Bahkan, kata beliau, terdapat beberapa cubaan pertuduhan telahpun digugurkan oleh mahkamah.

“Atas sifat keadilan, hak asasi manusia dan integriti perundangan yang menjadi antara teras kepada konsep Rahmat dalam Islam, YADIM berpandangan pendirian Perdana Menteri dalam isu Dr. Zakir Naik wajib dipertahankan oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau menjelaskan, atas semangat Hari Raya Aidilfitri, YADIM menyeru agar prinsip Keadilan Asasi diberikan kepada Dr. Zakir yang telah menyatakan kesediaan untuk dibicarakan sekiranya diberi jaminan keselamatan dan keadilan.

“Kita meyakini maksim seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya adalah sesuatu yang wajar dihayati dan dipertahankan oleh semua pihak yang menjunjung tinggi konsep kedaulatan undang-undang dan kerahmatan sejagat.

“Prinsip menjamin keadilan adalah satu daripada teras Maqasid Syariah yang telah diberi penekanan sama ada secara langsung seperti dinukilkan Allamah Ibn Asyur atau tidak langsung seperti Jasser Auda,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast