Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Makan Malam Sejuta Kenangan anjuran ketua bahagian, ketua srikandi dan ketua armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat Konvensyen Setia City

SHAH ALAM – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penyebaran klip video berunsur lucah dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet dilakukan oleh pihak yang mempunyai agenda politik.

Beliau berkata video berkenaan sukar dipercayai kebenarannya seperti didakwa memandangkan pada masa kini, banyak pihak yang bijak mampu menyunting dan menghasilkan gambar dan video seumpamanya.

“Saya tidak fikir (video dan gambar) ini benar. Ia dibuat oleh seseorang dengan agenda politik. Kalau anda nak kalah, anda nampak orang lain nak menang, anda tunjuk gambar lucah. Kalau macam itu, setiap hari boleh tunjuk gambar lucah.

“Lepas ini boleh nampak gambar saya pula lah. Jangan lakukan kerja kotor ini. Pastikan politik lebih bersih,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Sejuta Kenangan anjuran ketua bahagian, ketua srikandi dan ketua armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat Konvensyen Setia City di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut mempersoal tujuan sebenar seorang lelaki yang mengaku dirinya terlibat dalam perilaku video berkenaan.

“Lelaki yang mengaku, ini disengajakan. Kalau tak, tak akan dia nak mengaku. Biasanya, orang itu (pelaku video lucah) malu nak mengaku, tapi ini tak malu. Apa tujuannya,” katanya.

Ditanya sama ada beliau ada bertemu dengan menteri Kabinet tersebut mengenai isu video terbabit, Dr Mahathir mengatakan ada berjumpa dengannya seperti biasa semalam namun ia hanya berkaitan mesyuarat Kabinet.

Dalam pada itu, ditanya pula mengenai wujudnya pertembungan kuasa dalam Parti Keadilan Rakyat ekoran video lucah itu, beliau hanya menyatakan yang pihaknya tidak tahu mengenainya.

“Cara macam ini (penyebaran video lucah) tak patut ada dalam Malaysia. Kotor sangat dah,” katanya ringkas.

Hari ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam satu video lucah.

Mohamed Azmin yakin siri fitnah tersebut adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuhkan beliau dan memusnahkan karier politiknya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast