Pengerusi Otai Reformis 1998, Dr. Idris Ahmad bersama ahlinya yang lain bergambar pada sidang media khas mengenai mengenai video seks melibatkan seorang menteri Kabinet di Restoran Amjal, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menetapkan satu tarikh untuk beliau menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gesaan itu dibuat Otai Reformis 1998 selepas Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) didakwa tidak patuh dengan manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Pengerusinya, Dr. Idris Ahmad berkata, meskipun Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu telah berjanji akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Presiden PKR dan Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam tempoh dua tahun namun Mahathir tidak menyatakan tarikh sebenar perpindahan jawatan itu akan dilakukan.

Katanya, Mahathir perlu menetapkan satu garis masa untuk menyerahkan jawatan nombor satu dalam kerajaan kepada Anwar selepas prestasi pentadbiran Putrajaya ketika ini dilihat merudum.

“Nombor satu, kenyataan Mahathir baru-baru ini, satu tempat diberi kenyataan lain dan di satu tempat lagi kenyataannya pula lain. Ini meragukan situasi.

“Nombor dua, kita tengok pencapaian individu dalam satu-satu syarikat (memberikan contoh kepada kerajaan). Dalam setahun ini, nak terus terang, adakah masyarakat Malaysia puas hati tentang pentadbiran kerajaan di Putrajaya?

“Tahap keyakinan, pelaburan, ekonomi turun. Jadi berapa lama kita akan menunggu kita tak mahu terus henti, sekurang-kurangnya kena ada garis masa.

“Jadi pelabur atau masyarakat akan tahu jika hendak membuat pelaburan dan sebagai,” katanya pada sidang media  hari ini.

Idris juga menambah, lebih baik sekiranya Mahathir menyerahkan jawatan kepada Anwar dengan segera kerana itu sememangnya harapan dan matlamat perjuangan penubuhan Otai Reformis sebelum ini.

Ketika ditanya bilakah tarikh sesuai untuk jawatan tersebut diserah kepada Anwar, Idris berkata, jika bukan tahun depan, hujung bulan ini pun lebih elok.

Ujarnya, adalah lebih baik sekiranya jawatan berkenaan diserahkan kepada Anwar secepat mungkin dan Mahathir tidak perlu menyatakan sesuatu secara ‘samar-samar’.

“Kami bukanlah ahli politik dalam parti politik. Saya bersama mereka (ahli reformasi) sehingga berlaku reformasi. Kita mahu PM (Perdana Menteri) seterusnya mesti Anwar Ibrahim, selepas itu tidak penting,” tegasnya.

Sebelum ini, Anwar pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Mahathir ketika kedua-duanya berada dalam Barisan Nasional.

Menjelang PRU-14, dilaporkan ada persetujuan dalam kalangan pimpinan PH supaya Mahathir menjadi Perdana Menteri selama dua tahun sebelum digantikan Anwar.

Namun, Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah seperti dilaporkan media pada 3 Januari lalu berkata, perjanjian ditandatangani PH sebelum PRU-14 tidak menetapkan tempoh masa untuk Anwar mengambil alih.

Beliau juga dilaporkan berkata, tempoh masa tidak ditetapkan oleh pakatan itu sebagai menghormati kedua-dua pemimpin berkenaan yang disifatkan lebih mengetahui berhubung perkara terbabit berbanding orang lain dan boleh memutuskannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast