Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu ke atas Abha International Airport, Arab Saudi yang menyebabkan 26 orang tercedera.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, apa sahaja serangan seperti itu tidak boleh diterima dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa serta norma manusia.

Katanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar berkecuali dan tidak berpihak, Malaysia perlu mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman pakatan Arab Saudi di Yaman bagi mengelakkan lebih ramai orang awam terutamanya kanak-kanak terkorban.

“Malaysia harus dilihat memainkan peranan aktif sebagai negara berkecuali dengan mengutuk apa sahaja serangan termasuk yang dilakukan Arab Saudi di Yaman.

“Kenyataan ini penting bagi memperlihatkan sikap Malaysia yang tegas menolak kekejaman dilakukan mana-mana pihak termasuk Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Faiz, perang berlaku di Yaman sejak 2016 yang dikepalai pakatan Arab Saudi telah mengakibatkan ratusan ribu orang awam tidak berdosa terkorban.

Bahkan, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah kematian dicatatkan di Yaman akibat perang sehingga kini seramai 102,000 orang dan boleh meningkat kepada 223,000 jika perang ini berlarutan sehingga tahun 2020.

Manakala 131,000 orang lagi terbunuh akibat kekurangan makanan, masalah kesihatan dan infrastuktur semasa perang.

Beliau berkata, perang itu juga memusnahkan banyak rumah ibadat seperti masjid, hospital, rumah orang awam dan sebagainya.

Katanya, sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir Putrajaya, sikap berkecuali ini telah ditunjukkan dengan penarikan balik tentera Malaysia yang ditempatkan di Arab Saudi.

“Maka, Pemuda Amanah menggesa Malaysia memainkan peranan lebih proaktif menggunakan saluran diplomasi bagi mencapai hasrat menghentikan konflik Yaman-Arab Saudi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast