Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa beramah mesra ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Pandan Indah di Ampang Jaya Municipal Public Park, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JUN 2019

KUALA LUMPUR –  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan sehingga kini kerajaan India belum membuat permohonan untuk mengekstradisi pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik.

Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Dr Zakir baru-baru ini adalah pendirian kerajaan buat masa ini.

“Saya memang ada bertanya juga, tapi setakat sekarang ini, Kerajaan Malaysia tidak menerima apa-apa permohonan daripada India untuk ekstradisi Dr Zakir.

“Perdana Menteri sudah menjawab mengenai isu ini dan itulah juga pendirian kita (Pakatan Harapan),” katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pandan 2019.

Pada Isnin lalu, Dr Mahathir berkata, kerajaan berhak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah itu ke negara asalnya.

Kenyataan itu timbul selepas Kerajaan India dilihat begitu terdesak untuk menahan Dr Zakir atas dakwaan pengubahan wang haram di India.

Sebelum ini pihak berkuasa India dilaporkan akan cuba mendapatkan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menahan Dr Zakir, sekali gus mengekstradisinya ke negara itu dari Malaysia.-MalaysiaGazette