KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mendakwa sistem tanpa tunai yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat mengurangkan perilaku rasuah.
Beliau berkata, jika berlaku juga, pihaknya dapat mengesan pelaku terbabit menerusi data yang direkodkan.
“Sistem tanpa tunai ini dapat menangani gejala rasuah, selain pelakunya mudah dikesan dengan data yang kita rekodkan ketika urusan dilakukan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan “Go Cashless on Public Transport Launch” di KL Sentral di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Express Rail Link (ERL), Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.
Menurut Loke Siew Fook, kementeriannya menggalakkan orang ramai menggunakan sistem tanpa tunai dalam urusan harian terutama berkaitan dengan pengangkutan awam kerana ia lebih mudah dan selesa.
Kata beliau, sistem tanpa tunai juga lebih menjimatkan berbanding membeli tiket secara tunai.
“Dengan tanpa tunai juga memudahkan kementerian saya membuat kajian mengenai jumlah penggunaan pada waktu puncak, waktu biasa dan malam.
“Kita juga akan memperkenalkan pelbagai inisiatif kepada pengguna paling kerap menggunakan tanpa tunai ketika berurusan dengan pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini kesedaran orang ramai berhubung sistem itu tidak menyeluruh, tetapi yakin lama kelamaan ia akan mendapat sokongan dan menjadikannya sebagai amalan harian.
Sebab itu, katanya, kementeriannya tidak menetapkan tempoh sepanjang pengenalan sistem tanpa tunai kerana mahu orang ramai menyedari kegunaannya secara berfasa dan berperingkat.
Beliau turut menyerahkan kepada pihak yang terbabit dengan pengangkutan awam termasuk bas Rapid dan pengangkutan tren Rapid untuk mengadakan promosi pemasaran masing-masing, tanpa tekanan dari kerajaan.
“Terpulang kepada pihak operator masing-masing untuk membuat promosi pasaran sistem tanpa tunai ini.
“Kerajaan bukan nak buat keuntungan dengan sistem ini, sebaliknya memberi peluang kepada operator pengangkutan untuk memperkenalkannya kepada orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette